KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, yang baru, Bapak Noorman Effendi, di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini pada Isnin.
Hajiji mengucapkan tahniah kepada Noorman atas pelantikannya dan berharap hubungan diplomatik dan kerjasama erat dua hala antara Sabah dan Republik Indonesia, khususnya dalam aspek ekonomi, pelaburan, pendidikan, tenaga kerja dan lain-lain terus dipertingkatkan.
Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh jaringan hubungan rakyat dengan rakyat antara Sabah dan wilayah-wilayah di Indonesia yang mempunyai persamaan geografi dan budaya, serta interaksi masyarakat kedua negara yang telah lama terjalin.
