
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Usahasama antara Sawit Palm Oil Industrial Cluster Sdn. Bhd. (SPOIC), anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu, dengan Jetama Sdn. Bhd. (JSB) bagi pembangunan Loji Penyahgaraman Air berkapasiti dua juta liter sehari (2MLD) di Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SK SIP).
Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kumpulan Sawit Kinabalu, Menara Kinabalu, turut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, dan Pengerusi Jetama Sdn. Bhd., Datuk Yusof Mannan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk AhmadNaim Uddang, serta Timbalan CEO Kumpulan Sawit Kinabalu, Datin Stella Ambrose, bertindak sebagai saksi syarikat.
Kerjasama strategik ini mengukuhkan peranan kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam membangunkan infrastruktur industri bersepadu di Sandakan.
SK SIP yang berkeluasan 1,010 ekar dibangunkan sebagai taman perindustrian lengkap dengan kemudahan asas bagi mempelbagaikan ekonomi negeri, menarik pelaburan strategik, serta merancakkan pembangunan industri hiliran di Sabah.
Bagi memenuhi keperluan bekalan air stabil, loji nyahgaram menggunakan teknologi Reverse Osmosis (RO) akan dibangunkan bagi memproses air laut kepada air terawat gred industri. Loji ini menjadi komponen utama dalam menyokong pertumbuhan industri dan komuniti setempat.
Dalam kenyataan bersama, Victor berkata projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi Sabah dengan membuka peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan industri hiliran, selain memastikan bekalan air mampan untuk kawasan industri.
“Usahasama ini mencerminkan komitmen berterusan dua GLC dalam menyokong agenda pembangunan negeri serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah,” katanya.