
TUARAN: Sabah mencatat jumlah masjid tertinggi di Malaysia dengan 1,127 buah masjid selain 1,222 surau di seluruh negeri, menggambarkan komitmen kerajaan negeri bersama masyarakat Islam dalam memperkukuh syiar Islam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, kedudukan itu tidak bertujuan untuk bermegah, sebaliknya membuktikan kesungguhan kerajaan dan masyarakat dalam menjadikan masjid serta surau sebagai pusat pembangunan ummah.
“Apa yang penting, rumah ibadah ini terus diimarahkan dengan pelbagai aktiviti ilmu, dakwah, pendidikan dan perpaduan, agar bukan hanya tersohor pada namanya tetapi juga pada pencapaiannya,” katanya ketika merasmikan Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di Kampung Lok Batik Hujung, di sini pada Ahad.
Menurut Hajiji, pembinaan Surau Abu Hassan Ar-Raudhah menambah bilangan surau dan masjid di daerah Tuaran kepada 69 buah, merangkumi 38 surau dan 31 masjid. Katanya, perkembangan itu seiring dengan pertumbuhan penduduk dan kepesatan pembangunan daerah yang bersempadan dengan Kota Kinabalu.
“Kerajaan yakin bilangan ini akan terus meningkat selaras dengan kemajuan pesat yang berlaku di Tuaran,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Bugis yang memainkan peranan penting menjayakan pembinaan surau tersebut melalui kerjasama, gotong-royong serta sumbangan dana masyarakat.
“Surau ini berdiri megah hasil semangat kebersamaan dan kerja keras masyarakat. Sikap rela berkorban demi agama Allah menjadi teladan terbaik kepada semua umat Islam,” katanya.
Hajiji menegaskan, masjid dan surau bukan sekadar tempat menunaikan solat berjemaah, tetapi berfungsi lebih luas sebagai pusat penyatuan masyarakat, pengukuhan ukhuwah, penyebaran ilmu serta pembangunan sosial dan ekonomi. Menurutnya, Surau Abu Hassan Ar-Raudhah mampu menjadi nadi perpaduan setempat dan pusat dakwah yang memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.
“Dengan terbinanya surau ini, kita bukan sahaja menambah infrastruktur keagamaan, tetapi juga memperkukuh identiti Islam di Negeri Di Bawah Bayu,” katanya.
Hajiji berkata, masjid dan surau juga mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan agama, sebagaimana masjid-masjid utama di ibu negeri yang sering menjadi tumpuan pelancong luar negara.
Beliau yakin pewujudan Surau Abu Hassan Ar-Raudhah memberi nilai tambah kepada Tuaran, selain kewujudan tarikan budaya lain seperti Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Lok Batik.
“Sambil kita beribadah, kita juga berdakwah, mempromosi daerah dan memperkenalkan budaya bangsa yang selama ini menjadi teras perpaduan rakyat Sabah,” katanya. Hajiji berkata, Sabah yang dihuni 35 kumpulan etnik dan 217 sub-etnik sentiasa menjadi contoh terbaik masyarakat majmuk di Malaysia.
Beliau menegaskan, selain masyarakat Bugis, semua kaum di Sabah memainkan peranan penting dalam arus pembangunan negeri, dengan nilai toleransi dan kebersamaan menjadi kekuatan utama.
Hajiji menegaskan kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh institusi Islam melalui pembinaan masjid dan surau baharu serta pengimarahan rumah ibadah sedia ada.
Katanya, usaha itu seiring agenda kerajaan untuk memperkasakan nilai kerohanian, memastikan kesejahteraan sosial dan memelihara perpaduan ummah.