
KOTA KINABALU: Rundingan agihan kerusi di antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) sudah selesai dan hanya menunggu untuk diumumkan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata walaupun ada beberapa kerusi masih dalam perbincangan, ia sudah di peringkat hampir muktamad dan tidak akan menjejaskan persediaan menghadapi pilihan raya.
“Jangan susah, sebenarnya sudah (selesai rundingan) tapi kita tidak boleh umum awal betul, bilangan kerusi sudah (diputuskan). Kalaupun ada satu dua kerusi, perundingan sudah capai ke tahap hampir muktamad,” katanya ketika ditanya pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS bagi PRU 17 di SICC, pada Ahad.
Hajiji yakin momentum jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditonjolkan pada pelancaran jenteranya hari ini mampu membawa kemenangan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU17).
Beliau menyatakan keyakinannya terhadap semangat jentera setiap parti komponen GRS yang ditunjukkan pada majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu sebagai gambaran jelas kekuatan gabungan itu berdepan saingan lawan.
“Momentum yang kita lihat hari ini memang cukup bersemangat, jadi pastikan parti masing-masing menang. Kita yakin dengan kemampuan GRS untuk berdepan pilihan raya ini dan isnyaAllah sekali lagi diberi kemenangan,” katanya.
Majlis yang turut dihadiri presiden enam parti komponen GRS itu dihangatkan dengan kehadiran kira-kira 20,000 anggota jentera dan penyokong GRS.
Hajiji berkata, jentera GRS sudah lama digerakkan di setiap cawangan dan bahagian seluruh negeri sebelum pelancaran secara rasmi yang dibuat hari ini.
“Ada bahagian yang sudah buat, sudah lancar sendiri lama sudah, hari ini untuk pelancaran secara rasmi saja,” katanya.