
KOTA KINABALU: Video muzik “Kita Jaga Sabah” bukan sekadar sebuah karya seni, sebaliknya manifestasi suara hati, cinta dan komitmen seluruh rakyat Sabah untuk menjaga negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata, pelancaran rasmi video muzik itu menjadi bukti bahawa bakat anak Sabah mampu menghasilkan karya luar biasa yang bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah membangkitkan semangat perpaduan.
“Apabila kita menyebut Kita Jaga Sabah, ia bukan sekadar slogan. Ia adalah seruan bersama bahawa tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan, kita semua mesti memikul tanggungjawab menjaga negeri ini dari segi keamanan, perpaduan dan pembangunan,” katanya pada Tayangan Perdana Media dan Pelancaran Video Muzik Kita Jaga Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada penerbit, Farish Aziz yang berjaya menghimpunkan bakat-bakat besar negeri ini termasuk Stacy, Elica Paujin, Feroq, Dabra Sia, Meba, Anip dan Nuvel, selain pencipta lagu, Anas Amdan.
Katanya, gabungan penyanyi dan tenaga kreatif tempatan itu membuktikan bahawaseni mampu menyatukan rakyat Sabah melalui mesej yang menyentuh hati.
Menurutnya, seni dan budaya adalah antara medium paling berkesan untukmenghubungkan masyarakat, khususnya belia, kerana ia membolehkan mereka menyalurkan aspirasi serta harapan dalam bentuk positif.
“Video muzik ini jelas menunjukkan bahawa belia Sabah bukan sahaja berbakat, tetapijuga berjiwa besar – mereka mahu negeri ini maju, mereka mahu melihat perubahan dan mereka mahu menyumbang,” katanya.
Hajiji turut memuji penganjuran program Tamu Suara 360 oleh Majlis Belia Sabah dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan, yang memberi ruang kepada anakmuda menyuarakan pandangan mengenai masa depan negeri.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Abekandan pasukannya atas usaha gigih menganjurkan platform berkenaan.
“Anak muda kita bukan sahaja ambil tahu, malah mereka ambil peduli tentang pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan masa depan negeri ini.Inilah semangat kepedulian yang kita mahu pupuk dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Hajiji menegaskan, membina Sabah yang makmur dan berdaya saing bukan usaha mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan serta kerjasama semua pihak.
Justeru, katanya, kerajaan negeri akan terus memberi ruang dan sokongan kepada inisiatif memperkasakan belia, sama ada dalam bidang seni, budaya, sukan mahupun keusahawanan.
“Dengan semangat Kita Jaga Sabah, saya yakin kita mampu melahirkan sebuahnegeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga kaya budaya, harmoni dalam perpaduan dan inklusif untuk semua rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah, khususnya belia, agar terus berpegang pada semangat Kita Jaga Sabah sebagai landasan membina negeri. “Kita semua adalah penjaga Sabah – daripada pemimpin, belia, masyarakat kampung, hinggalah penggiat seni. Jika kita bergerak bersama, insya-Allah, kita mampu membawa negeri ini ke mercu kejayaan lebih tinggi,” katanya.