BONGAWAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kepentingan kerjasama kerajaan negeri dengan Kuala Lumpur sejajar peranan kerajaan Persekutuan dalam pentadbiran negara.
“Kerjasama dengan Kuala Lumpur amat penting kerana dia mentadbir negara, negara ini adalah negara kita. Walau apapun kita pertahan hak negeri, kita harus pertahankan juga negara,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan, di Dewan Serbaguna Bongawan pada Isnin.
Dalam hal lain, Hajiji mendedahkan kira-kira setengah juta anak Sabah dibantu menerusi peruntukan untuk pendidikan berjumlah RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun lalu.Katanya, jumlah yang menerima manfaat itu adalah yang terbesar berbanding kerajaan sebelum ini berikutan kejayaan pentadbiran dan meningkatkan hasil negeri.
“Dalam bidang pendidikan sebanyak RM1.3 bilion dibelanjakan dalam tempoh empat tahun setengah ini, 500,000 anak Sabah kita bantu dalam tempoh itu.Biasiswa dulu hanya RM40 hingga RM50 juta setahun, tapi sekarang kita luluskan RM145 juta.
“Peningkatan ini disebabkan kita berjaya mentadbir negeri dan meningkatkan hasil. Dulu kutipan hasil hanya RM4 hingga RM5 bilion saja setahun, tapi sekarang mencecah RM7.5 bilion. Ini yang kita kembalikan kepada rakyat,” katanya.
Hajiji turut membidas tuduhan pembangkang yang mengatakan kerajaan hanya membuat pengumuman, tapi hasilnya tidak dapat dirasai.
“Memanglah mereka tidak rasa kerana manfaat itu hanya dirasai rakyat. Walaupun tidak semua yang dapat dibantu, tapi kita dapat bantu paling ramai.
“Jadi, rugi kita kalau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak dikasi menang, kita mesti bersatu untuk menentukan masa depan Sabah, jangan sekali-kali terpedaya dengan retorik pembangkang.
“Mereka (pembangkang) cakap berapi-api macam jual ubat, mundar-mandir, pusingpusing, tapi ubat itu tidak boleh sembuhkan sakit rakyat yang perlukan pembelaan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman sebagai calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada PRU Sabah Ke-17.
“Kalau GRS, parti komponennya, jenteranya mantap, ditambah dengan sokongan rakyat dan bersatu padu, saya yakin Bongawan ini milik GRS dan kita mahu menang”, katanya.
Beliau mahu DUN Bongawan yang kini disandang oleh parti pembangkang, kembali diwakili parti kerajaan supaya boleh dimajukan seperti slogan Bongawan Maju.
Selain Bongawan, Hajiji juga menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan GRS untuk kembali membentuk kerajaan selepas PRU Sabah pada 29 November nanti.
Sementara itu, Hajiji mengingatkan pentingnya semua bersatu hati bagi memastikan wujud kestabilan politik di Sabah yang diterjemahkan menerusi sokongan pada PRU nanti.
Katanya, jika kembali membentuk kerajaan, pelbagai lagi program ekonomi akan dirancang untuk rakyat sepanjang tempoh lima tahun akan datang.
Berikutan itu, Hajiji mengingatkan agar rakyat tidak mempercayai dakyah pembangkang dan terpengaruh dengan retorik, fitnah dan pembohongan mereka.
