
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan integriti, profesionalisme dan kecekapan pentadbiran daerah menjadi kunci utama bagi memastikan dasar kerajaan negeri benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat serta menjayakan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya
(SMJ).
Beliau berkata, pegawai daerah dan penolong pegawai daerah adalah pemimpin akar umbi yang berperanan sebagai penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat, justeru mereka perlu proaktif, telus dan dekat dengan masyarakat agar setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan berkesan.
“Saya mahu pegawai daerah bukan sekadar menjaga amanah, tetapi memastika setiap projek pembangunan sampai kepada rakyat dengan penuh integriti dan ketelusan. Permudahkan urusan rakyat dan hentikan kerenah birokrasi yang boleh menjejaskan pembangunan daerah,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-28 di Shangri-La Tanjung Aru Resort (STAR), pada Khamis.
Hajiji berkata, pentadbiran daerah kini berdepan cabaran lebih besar susulan tuntutan rakyat yang semakin meningkat serta perubahan sosio-ekonomi global yang dipacu teknologi.
“Pegawai daerah perlu mendengar keluhan rakyat dan memastikan pelaksanaan dasar kerajaan bukan sekadar sampai kepada sasaran, tetapi memberi impak langsung kepada kehidupan mereka. Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa integriti dan profesionalisme adalah tunjang pentadbiran daerah, maka setiap keputusan serta tindakan mesti berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab.
Mengulas pencapaian kerajaan negeri, Hajiji berkata Sabah kini berada pada landasan kukuh menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0, termasuk kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar
Katanya, antara inisiatif utama ialah pembinaan Rumah Mesra SMJ, dengan 7,482 unit rumah diluluskan sejak 2022 hingga 2025 dan 4,540 unit telah siap dibina sehingga Ogos lalu.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menaikkan elaun Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) daripada RM500 kepada RM800, manakala elaun Setiausaha JKKK dinaikkan daripada RM300 kepada RM400, sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka menyelaras pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di peringkat kampung.
Beliau berkata, setakat ini, tiga daerah kecil iaitu Paitan, Membakut dan Sook telah dinaik taraf menjadi daerah penuh, manakala beberapa daerah kecil lain berpotensi diberi status sama sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan.Menjawab dakwaan pembangkang yang kononnya kerajaan negeri gagal membawa pembangunan, Hajiji menegaskan tuduhan itu hanyalah dakyah politik untuk menafikan pencapaian kerajaan.
“Itu tidak benar. Saya mahu pegawai daerah dan penolong pegawai daerah memperjelaskan setiap inisiatif kerajaan kepada rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan tuduhan tidak berasas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pegawai daerah supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi keadaan cuaca tidak menentu, termasuk memastikan aset dan peralatan penyelamat berada dalam keadaan baik.
Hajiji juga berharap Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-28, dapat melahirkan resolusi yang praktikal untuk dilaksanakan, selaras dengan tema “Daerah Maju, Rakyat Sejahtera”, sekali gus merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya.