
KOTA KINABALU: Pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di semua peringkat diingatkan supaya bekerja keras memastikan kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan kerjasamanya, Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Memberikan peringatan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerjasama semua pimpinan parti, termasuk Ketua Bahagian sangat penting bagi memastikan kemenangan GRS untuk kembali menerajui kerajaan negeri.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat juga mengingatkan pilihan raya kali ini sangat kritikal kepada GRS, lebih-lebih lagi dengan pelbagai tekanan dari pihak pembangkang yang menyebarkan pelbagai dakyah dan penipuan untuk menjatuhkan kerajaan.
“Kita akan menghadapi pilihan raya yang paling kritikal, jadi saya minta semua Ketua Bahagian dan pimpinan empat peringkat Gagasan Rakyat supaya tolong calon yang dililih oleh parti, tolong calon yang ditetapkan rakan kita, PH.
“Kita mesti menang dalam pilihan raya ini. Saya tahu kita menghadapi tekanan yang begitu hebat, lebih-lebih lagi saya sendiri, termasuk dalam soal memilih calon.
“Tapi, kita mesti ada tolak ansur dan pengorbanan. Apa juga keputusan parti, kita mesti junjung dan hormati, kita beri kerjasama kerana yang penting ialah kita mesti menang dan jadi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Bahagian Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengulangi keyakinannya terhadap kemampuan GRS bersama rakan kerjasamanya PH untuk kembali diberi mandat pada PRN17.
“Kita sudah sedia dengan jentera pilihan raya GRS dan saya amat yakin jika kita bersatu, kita akan mencapai kejayaan pada pilihan raya itu nanti,” katanya sambil menambah jentera GRS akan dilancarkan pada pertengahan Oktober ini.
Ketua Menteri berkata, selama lima tahun memerintah, Kerajaan GRS sudah berusaha melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan membangunkan ekonomi Sabah dengan sebaik yang terdaya, malah banyak kejayaan yang sudah dilakar.
Bagaimanapun, katanya pembangkang sengaja menafikan kejayaan itu, malah menuduh dan bercakap bermacam-macam yang tidak baik kepada kerajaan, termasuk terhadap dirinya selaku Ketua Menteri.
“Pembangkang bercakap macam -macam tuduhan kepada kita, terutama saya dituduh siang malam. Mereka cakap kerajaan ini gagal, tapi apa gagalnya kalau kita dapat mentadbir negeri dengan baik, malah memperkenalkan hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah.
“Gagalkah kita kalau dulu kutipan negeri hanya RM4 bilion, tapi sekarang naik kepada RM7 bilion dan tahun depan dijangka lebih lagi daripada RM7 bilion.
“Gagalkah kita apabila kita berjaya memeterai perjanjian dengan PETRONAS hingga banyak yang kita dapat manfaat dalam memajukan induatri minyak dan gas.
“Dulu amat sedikit syarikat tempatan Sabah yang terlibat tetapi hasil perjanjian dengan PETRONAS, sekarang lebih 100 syarikat tempatan Sabah diberi peluang oleh PETRONAS,” katanya.
Terdahulu, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Naib-Naib Presiden, Datuk Dr.Haji Mohd.Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang dan Datuk Masiung Banah, Ketua Pergerakan Wanita Negeri, Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pemuda Negeri, Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Pergerakan Beliawanis Negeri, Cik Emmie Datuk Martin Idang.
Turut hadir Setiausaha Agung, Datuk Mohd Razali Razi, Bendahari Negeri, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar dan Ketua Penerangan Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.