
KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hadir pada jam 9.20 pagi sebelum keberangkatan tiba TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah yang seterusnya merasmikan majlis berkenaan.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif; serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Majlis penganugerahan melibatkan seramai 305 graduan yang berjaya menamatkan pengajian Diploma Dakwah Islamiah, Sijil Pengajian Islam dan Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia.
Turut disampaikan ialah Anugerah Alumni IPDAS, Anugerah Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Anugerah Ketua Pengarah JAKIM, Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Anugerah Ketua Menteri Sabah serta Pingat Emas TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.