
KUDAT: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menganiaya mana-mana pegawai atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi kerajaan negeri yang dilantik oleh kerajaan Parti Warisan sebelum ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mendedahkan ketika mula-mula dilantik ke jawatan itu kira-kira lima tahun lalu, beliau menemui pegawai terbabit dan menyatakan supaya mereka terus berkhidmat untuk kerajaan.
Katanya, ia berbeza dengan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan Warisan ketika mereka berkuasa selama lebih dua tahun sebelum ini yang banyak mencantas, berdendam serta menekan sesiapa saja yang tidak sehaluan.
“Apabila mereka (Warisan) ambil kerajaan, bukan mereka fikir rakyat, tapi mereka cantas, dendam dan tekan orang. Saya jadi Ketua Menteri hampir lima tahun, saya tidak pernah aniaya satupun walau ia dilantik oleh Warisan,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua
Menteri Sabah di Grand Ballroom Kudat Golf & Marina Resort, Kudat pada Jumaat. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Beliau turut menjelaskan semua masalah air yang berlaku di Sabah ketika pentadbiran kerajaan GRS yang sebenarnya berpunca daripada tindakan kerajaan Warisan sebelum ini menamatkan lapan syarikat konsesi air.
“Kenapa kita ada masalah sekarang ini terutama masalah air? Tahukah kamu apabila Warisan ambil alih kerajaan, lapan syarikat konsesi yang menjaga air mereka tamatkan, mereka potong. Akibatnya syarikat terbabit bawa perkara itu ke mahkamah dan kerajaan rugi bayar RM315 juta kepada mereka, tiada faedah- faedah.
Bagaimanapun, katanya kerajaan GRS pimpinannya sekarang tetap mengambil tanggungjawab melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu.
“Sekarang kerajaan yang bertanggungjawab, kita laksanakan untuk naik taraf loji air, ada menterinya di sini, kita belanja RM300 juta untuk kita laksanakan dan di Papar RM380 juta naik taraf loji Kogopon dari 40 juta liter sehari (JLS) ke 80 JLS dan akan siap tahun depan.
“Di Tawau dan tempat lain juga kita bagi peruntukan untuk atasi masalah air. Jadi ini rakyat mesti tahu, jangan dengar di media sosial kata GRS gagal, air tiada, jalan berlubang dengan muka Hajiji keluar di sana,” katanya.
Hajiji berkata, perkara yang sama berlaku terhadap Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang
mengalami kelewatan lebih empat tahun selepas syarikat konsultan untuk projek itu dihentikan
ketika kerajaan Warisan berkuasa.
Katanya, Warisan tidak melakukan perubahan yang baik sepanjang dua tahun lebih berkuasa tetapi menyalahkan kerajaan sekarang apabila mereka sudah tidak berkuasa.
Atas sebab itu, Hajiji meminta rakyat Sabah supaya menjadikan Pilihan Raya Ke-17 (PRN17) yang tidak lama lagi sebagai peluang keemasan untuk mengekalkan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya.
“Jangan sia-siakan peluang ini, kalau kerajaan itu tolong rakyat terutama yang miskin, yang di bawah, pelajar dan sebagainya, angkat ekonomi, industri kita, kenapa kita mesti tolak pada pilihan raya nanti.
“Saya harap rakyat kita kali ini bagilah kepercayaan kepada calon GRS yang kita letak di mana saja. InsyaAllah kita akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti, percayalah,” katanya.