KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawarkan politik yang stabil, politik pembangunan dan politik perpaduan dalam mengemudi kerajaan negeri Sabah ke satu tahap yang lebih maju.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS, berkata kerajaan pimpinannya sudah membuktikan kemampuan sebagai pemerintah yang baik sepanjang lima tahun lalu.
Bagi memastikan kesinambungan kebaikan itu, katanya GRS mesti menang atas sokongan padu rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada Sabtu ini.
“GRS menawarkan satu politik yang stabil, politik pembangunan dan politik perpaduan. Kalau mahu maju, kita pilihlah GRS pada 29 November ini.
“Kita telah butkikan keupayaan kita memimpin negeri selama lima tahun, bukti keupayaan semua ada kerana kita berjaya mengangkat ekonomi Sabah dari satu tahap ke mercu yang cukup baik.
“Kita juga berjaya melaksanakan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dalam pelbagai sektor dan juga dalam pembangunan modal insan serta hala tuju untuk kesejahteraan rakyat kita iaitu membela rakyat kita di bawah yang masih memerlukan pembelaan kerajaan,” katanya berucap pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dan DUN Karambunai, di perkarangan Masjid Al-Munir Kampung Darau pada Rabu.
Hadir sama calon GRS bagi kerusi DUN Darau, Datuk Mohamed Razali Razi dan calon GRS bagi kerusi DUN Karambunai, Datuk Haji Arshad Idris.
Hajiji berkata, walaupun masih ada program yang belum selesai sepanjang lima tahun lalu, kerajaan pimpinannya komited untuk membawa Sabah ke satu era baharu yang lebih maju setanding dengan negeri lain.
Sementara itu, katanya bagi kawasan Darau dan Karambunai, beliau yakin calon yang dipertaruhkan GRS adalah mereka yang bekebolehan untuk menjadi wakil rakyat.
“Mereka ada pengalaman yang luas, sekaranglah masa kita untuk mengangkat mereka menjadi pemimpin dan wakil rakyat di Darau dan Karambunai.
“Bagi wakil rakyat yang mewakili kita selama ini, mereka dari parti yang pernah menjadi kerajaan dua tahun setengah, iaitu kerajaan yang gagal.
“Kalau tidak gagal, tentu rakyat tidak menolak mereka setelah berkhidmat selama dua tahun setengah saja. Jadi saya harap janganlah fikir janji bulan dan bintang mereka.
“Mereka sudah gagal, tidak boleh lagi kita biarkan Sabah berundur ke belakang kalau kita pilih parti yang sudah diberi peluang dulu.
“Peluang untuk menjadi kerajaan semula tidak akan menjadi kenyataan kerana rekod pencapaian mereka rakyat sudah tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau mendengar keluhan rakyat di DUN Karambunai dan Darau, khususnya mengenai masalah tanah kampung dan setinggan yang disuarakan pemimpin GRS di kawasan itu.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya kerajaan negeri melalui mesyuarat jemaah menteri sebelum dibubarkan beberapa bulan lalu sudah meluluskan mana-mana tanah kerajaan di sekitar kawasan Kota Kinabalu akan dijadikan rizab kampung.
“Tanah kerajaan diberi kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan diwarta sebagai rizab kampung untuk penempatan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan setinggan.
“Kita setuju wartakan sebagai perkampungan tempatan anak kita di kawaaan Karambunai dan Darau. Di Karambunai dan Darau juga kita rancang untuk bina perumahan rakyat,” katanya.
