
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan progresif yang berhemah dan inklusif, tanpa mengabaikan kepentingan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana membentangkan belanjawan negara yang progresif. Belanjawan ini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara dan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.9 bilion untuk Sabah yang diyakini akan memberi manfaat besar kepada negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada Jumaat.
Anwar turut mengumumkan bahawa peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah tahun depan adalah yang tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurut Hajiji, belanjawan kali ini bukan sekadar angka tetapi mencerminkan hasil kestabilan politik Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri.
“Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan Malaysia,” katanya.
Dalam belanjawan tersebut, Perdana Menteri turut mencadangkan peruntukan RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link yang akan memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Sabah.
Selain itu, sebanyak RM220 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana alam baru-baru ini, termasuk di IPG Gaya, manakala RM39 juta disalurkan untuk Fasa 2 projek tebatan banjir.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun depan.
Beliau juga memuji komitmen kerajaan pusat dalam menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memenuhi tuntutan Sabah, termasuk menaikkan geran khas interim kepada RM600 juta berbanding RM300 juta tahun ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong serta beberapa pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan negeri.