KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan komitmen parti untuk terus menguruskan dinamika politik yang melibatkan DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan dengan pendekatan matang, strategik dan berhemah demi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, BN Sabah menekankan bahawa perkembangan politik semasa perlu ditangani dengan kebijaksanaan, khususnya dalam suasana politik yang semakin mencabar serta dipengaruhi perubahan sentimen pengundi termasuk golongan muda.
BN Sabah berpandangan bahawa pengukuhan kepimpinan pelapis serta pembinaan naratif politik yang inklusif adalah penting bagi memastikan perjuangan BN kekal stabil dan relevan.
Dalam konteks tersebut, BN Sabah melihat Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, sebagai antara tokoh muda yang mempunyai keabsahan organisasi, penerimaan akar umbi serta kemampuan menterjemahkan aspirasi rakyat di peringkat lapangan.
Bagaimanapun, mengambil kira PRN Sabah yang baru sahaja selesai, BN Sabah memilih pendekatan calon perpaduan bagi menentukan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag.
Sehubungan itu, BN Sabah mengumumkan Mohd Ismail Haji Ayob akan dicalonkan sebagai calon perpaduan melalui keahlian terus (direct membership) Barisan Nasional. Langkah ini dilihat sebagai strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama politik, merapatkan jurang serta memastikan agenda pembangunan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.
BN Sabah turut menegaskan bahawa pengukuhan kedudukan parti di Kinabatangan bukan hanya soal persaingan pilihan raya, tetapi keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Dalam masa sama, BN Sabah merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas panduan memperkukuh kerjasama politik, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas komitmen memastikan keharmonian politik dan kestabilan pentadbiran negeri.
BN Sabah turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan merupakan lumrah demokrasi namun perlu diurus secara matang dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Parti itu turut menghargai kesetiaan dan komitmen jentera akar umbi dalam memastikan keharmonian sosial dan kemajuan Sabah terus terpelihara.
