
PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan kerjakerja pembaikan jalan yang terjejas akibat tanah runtuh di laluan Penampang–Tambunan dipercepatkan bagi menjamin keselamatan pengguna serta kelancaran perhubungan ke kawasan pedalaman.
“Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat. Kita mahu kerja-kerja pembaikan ini disiapkan segera supaya penduduk tidak terus terjejas,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Pogunon, pada Sabtu.
Sejurus tiba dari Kuching selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak , Hajiji terus ke lokasi tanah runtuh bersama Timbalan Ketua Menteri III/ Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; ADUN Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang; serta Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung kerjakerja pembaikan yang sedang dijalankan.
Hajiji mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, syarikat konsesi serta agensi berkaitan untuk menambah jentera dan bekerja 24 jam bagi memastikan laluan dua hala dapat dibuka semula dalam tempoh terdekat.
“Saya berkesempatan untuk melawat jalan raya yang runtuh daripada bukit sebelah sana. Jadi kita minta pihak JKR dan juga syarikat konsesi yang menyelenggara jalan ini supaya mengambil tindakan segera. Dan kita diberi jaminan dalam satu atau dua hari ini mereka boleh selesaikan laluan dua hala itu.
“Sekarang boleh digunakan cuma satu hala. Jadi mereka akan kerja 24 jam. Kita berharap pengguna jalan raya ataupun rakyat di kawasan ini supaya bersabar sedikit. Biar Kerajaan mengambil tindakan sebaiknya,” jelasnya.
Selain masalah jalan, Hajiji berkata, talian elektrik yang terputus akibat kejadian itu juga perlu segera dipulihkan.
“Manakala talian elektrik yang putus akibat itu, kita minta pihak Sabah Elektrik untuk mengambil tindakan segera juga untuk menyambung bekalan ini. Dan saya sendiri akan berhubung dengan CEO Sabah Electricity Sdn Bhd. Kita berharap mereka akan mengambil tindakan secepat mungkin dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Air Sabah dan JETAMA memastikan bekalan air bersih kembali normal di kawasan terjejas
Katanya, semua usaha bantuan itu akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa yang terkesan.
Siasatan awal mendapati tanah runtuh berkenaan dicetuskan oleh curahan hujan lebat berterusan selama tiga hari berturut-turut. Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman Public InfoBanjir, taburan hujan tertinggi direkodkan sebanyak 23.4 milimeter dalam tempoh 15 minit dan 82.5 milimeter dalam tempoh sehari pada 11 September lalu. Keadaan itu menyebabkan cerun di kawasan terbabit menjadi tidak stabil sehingga berlaku runtuhan besar.
Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa tragedi tanah runtuh yang mengakibatkan kematian apabila sebuah rumah tertimbus.
“Saya menyampaikan simpati dan rasa sedih saya bagi pihak Kerajaan kepada keluarga yang rumahnya runtuh dan ada yang tertimbus, meninggal dunia. Kita amat sedih kerana ini adalah bencana yang di luar kawalan kita,” katanya.
Hajiji memberi jaminan Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan ihsan khairat dan sokongan untuk membina semula kediaman keluarga terjejas.
“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan nasib keluarga mangsa. Saya memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan,” tambahnya.
JKR Sabah memaklumkan setakat jam 12.00 tengahari ini, beberapa lokasi di Jalan R500 Kota Kinabalu–Keningau–Tenom masih terjejas akibat banjir dan tanah runtuh, namun kebanyakan laluan sudah boleh dilalui dengan kawalan satu lorong sementara kerja pembersihan sedang giat dijalankan.
Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat jam 8 pagi, 13 September, seramai 437 mangsa daripada 128 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Beaufort, Penampang dan Tawau.
Di Beaufort, 154 mangsa daripada 53 keluarga kini ditempatkan di PPS Selagon.Sementara itu, di Penampang, seramai 224 mangsa daripada 64 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (39 orang), SK St Paul Kolopis (43 orang) dan Dewan Huguan Siou (142 orang).
Di Tawau, 59 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Al-Aman selepas bencana kebakaran. Secara keseluruhan, 23 kampung terjejas, dengan catatan satu kematian akibat bencana.