KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh tadbir urus, mempercepat penyelesaian isu tanah rakyat, memerangi rasuah serta memacu pembangunan ekonomi baharu berasaskan Ekonomi Biru.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17, semalam.
Menurut Hajiji, Belanjawan Negeri Sabah 2026 yang bertemakan Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan telah dibahas secara matang dan konstruktif oleh Ahli Dewan Undangan Negeri sepanjang dua hari persidangan.
Katanya, pandangan serta cadangan yang dikemukakan mencerminkan keprihatinan bersama dalam memastikan dasar dan peruntukan yang diluluskan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menyentuh isu tanah, Hajiji memaklumkan sebanyak 2,649 lot hak milik tanah Anak Negeri di daerah Sook melibatkan keluasan lebih 11,121 hektar telah diserahkan kepada pemilik sejak 2020 hingga November 2025.
Selain itu, 15 kampung di Sook telah selesai diukur dengan sembilan daripadanya telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri, manakala enam lagi dalam proses pewartaan.
Di kawasan Tungku pula, pengukuran tanah melibatkan 108 hak milik dengan keluasan 89.22 hektar telah disiapkan dan 215 draf geran sedia untuk diserahkan, manakala pengukuran tambahan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2026.
Bagi isu pemindahan enam keluarga di Kampung Likas, Hajiji menjelaskan proses pengambilan tanah telah diwartakan dan kerja-kerja pengukuran serta penyediaan pelan penempatan sedang dijalankan.
Dalam isu perhutanan, beliau berkata Kerajaan Negeri telah memberi kebenaran khas bagi jalan awam yang merentasi Hutan Simpan Pensiangan di bawah Enakmen Hutan 1968 bagi membolehkan kerja naik taraf, penyelenggaraan dan pemantauan dilakukan secara sah dan tersusun.
Antara laluan utama yang dikenal pasti termasuk Jalan Sapulut–Pensiangan dan Jalan Kg Mosopoh–Kg Katalirus.
Kerajaan Negeri juga mengambil maklum cadangan supaya undang-undang lama dikaji semula agar selaras dengan keperluan semasa.
Sehubungan itu, Hajiji memaklumkan penubuhan Sabah Law Reform Advisory Council yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah, bagi meneliti dan mencadangkan pindaan undang-undang negeri secara berperingkat.
Dalam aspek integriti, Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Antara langkah utama ialah keperluan semua Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar GLC mengemukakan laporan prestasi suku tahunan terus kepada Ketua Menteri, penempatan Penasihat Integriti daripada SPRM serta penubuhan Unit Integriti dan Governans di semua GLC negeri.
Menyentuh isu kemiskinan, beliau berkata Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR menyediakan bantuan RM300 sebulan kepada golongan miskin dan miskin tegar, dengan sasaran 100,000 penerima di seluruh negeri.
Bermula 2026, pelaksanaan program kemiskinan tegar akan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan 2024.
Dalam pembangunan Ekonomi Biru, Hajiji berkata Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pelaburan sektor swasta termasuk projek Ocean Thermal Energy Conversion yang kini dalam fasa kajian dan dijangka siap pada 2027 tanpa melibatkan dana kerajaan.
Selain itu, projek pembinaan Landing Port Tuna bernilai RM360 juta di Kota Kinabalu akan memberikan 30 peratus kepentingan kepada Kerajaan Negeri.
Hajiji menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri untuk terus bekerjasama dan menyokong agenda pembangunan negeri demi memastikan Sabah kekal makmur, sejahtera dan berdaya saing.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Sabah.
