
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini turun padang meninjau beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat tanah runtuh dan banjir di Beaufort, Bongawan, Papar, Kinarut, Penampang dan Kota Kinabalu.
Lawatan dimulakan di Dewan Raya Tandugal Kampung Mook, Kinarut, di mana Hajiji bertemu dengan Aristhotle @ Jude Joseph yang kehilangan isterinya, Emily Johnny, 38, dan anak lelaki mereka, Xarell Myre Aristhotle, 11, selepas rumah mereka dihempap tanah runtuh pada 15 September lalu.
Dalam pertemuan itu, beliau menyampaikan sumbangan termasuk bantuan kepada Aristhotle dan adik-beradiknya bagi membaiki rumah yang rosak sebelum meninjau lokasi tragedi berkenaan.
Ketua Menteri kemudiannya meneruskan lawatan ke Dewan Kampung Marahang, Papar, untuk bertemu dengan Benney Binjamis @ Emis yang kehilangan isterinya, Wong Moi Ling @ Meymey, 34, bersama dua anak mereka, Kamey Asphereynda Benney, 10, dan Christen Kell Benney, 6, yang maut selepas rumah mereka turut dihempap tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul pada pagi kejadian sama.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Benney sekeluarga bagi meringankan beban mereka.
Selesai di Papar, Hajiji bergerak ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Salagon, Beaufort, untuk menyampaikan bantuan kepada 83 keluarga mangsa banjir dan seterusnya kepada 56 keluarga lagi di Dewan Masyarakat Bongawan.
Pada sebelah petang, Hajiji meninjau pula kawasan perumahan Country Heights dan Institut Pendidikan Guru Gaya di Kota Kinabalu yang turut terjejas akibat kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.