
KINABATANGAN: Ketua PGRS Bahagian Lamag, Abu Bakar Gapar menafikan dakwaan yang beliau telah meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Jelasnya, beliau membuat kenyataan terbabit susulan poster yang ditularkan di media sosial menggunakan wajahnya hari ini.
Sebaliknya, kenyataan tersebut hanya menyebut salah seorang kepimpinan Bahagian Lamag telah keluar parti dan menyertai WARISAN, bukan dirinya seperti mana didakwa segelintir pihak.
“Hari ini saya ada melihat beberapa kumpulan dan maklumat dari media sosial meletakkan gambar saya dan juga ucapan daripada mantan Bendahari PGRS Lamag.
“Ingin saya nyatakan ada sedikit kekeliruan, sebab yang keluar itu adalah mantan Bendahari Bahagian Lamag tetapi menggunakan gambar saya.
“Jangan risau, saya masih Ketua Bahagian PGRS Lamag, Insyallah saya akan pikul tanggungjawab ini sehingga PRN akan datang, “katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelas Abu Bakar, beliau menyedari kepimpinan boleh ditukar ganti termasuklah di peringkat bahagian itu namun biar rakyat sahaja yang menilai prestasi parti pemerintah.
“Saya juga percaya, ini sengaja disensasikan pihak tertentu untuk memperlihatkan PGRS Bahagian Lamag kononnya bergolak.
“Kita tunggu dan lihat sahaja, jangan bimbang di bawah kepimpinan Pengerusi GRS merangkap Presiden PGRS, YAB Datuk Seri Hajiji Noor sudah tentu rakyat menilai secara positif akan prestasi kita.
“Jangan terhasut dengan mana-mana dakyah mereka, mereka (pembangkang) sudah diberi kesempatan untuk mentadbir negeri dan sudah terbukti rakyat menolak mereka.
“Yakinlah GRS sentiasa kukuh dan bersedia menghadapi PRN Sabah akan datang, ” katanya.
Tamat.