
KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi, mendesak kontraktor yang mengendalikan projek pembinaan flyover di Tebobon, Sepanggar agar segera memperbaiki pelan pengurusan trafik susulan rungutan berterusan daripada penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan itu.
Menurut beliau, kelemahan pengurusan trafik yang berlaku sepanjang pembinaan projek tersebut telah menyebabkan kesesakan luar biasa dan meningkatkan risiko kemalangan, termasuk di kawasan yang pernah merekodkan insiden maut.
“Jalan bukan sahaja sesak pada waktu puncak, tetapi hampir sepanjang hari. Pusingan U pula terlalu jauh dan tidak sistematik selain papan tanda tidak jelas dan membingungkan.
“Kawasan ini juga melibatkan empat buah sekolah, perkampungan dan perumahan padat di mana kesibukan yang berterusan, boleh melambatkan segala urusan penting selain jalan yang amat membahayakan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Razali juga menjelaskan bahawa punca utama kesesakan tidak hanya disebabkan pembinaan flyover semata-mata, tetapi turut berpunca daripada kelewatan kerja-kerja penurapan jalan di kawasan Bandar Sierra yang menyebabkan lorong jalan menjadi kecil dan sempit.
Razali menegaskan, kontraktor sepatutnya menyediakan kontinjensi plan sebelum memulakan projek, dan memastikan pelaksanaannya dipantau dengan kerap, bukannya membiarkan rakyat menanggung kesusahan setiap hari.
Beliau turut mengingatkan bahawa kontraktor yang menerima bayaran lumayan tidak boleh bersikap sambil lewa dalam menguruskan projek infrastruktur penting yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Kalau di Kuala Lumpur, bandaraya besar dengan projek mega pun boleh mengatur sistem pengurusan trafik dengan baik, mengapa kita di bandar Kota Kinabalu tidak mampu? Ini bukan soal teknikal semata-mata, tetapi soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu, Razali menggesa kontraktor dan pihak konsesi segera menyemak semula pelan pengurusan trafik, menambah papan tanda sementara yang jelas, menyediakan laluan alternatif yang lebih efisien serta melaksanakan pemantauan berjadual agar kelemahan sedia ada dapat diatasi segera.
Tambah beliau lagi, pihak di peringkat kerajaan sudah berusaha menaik taraf jalan raya di negeri ini, namun rakyat tidak wajar menjadi mangsa kelemahan pengurusan kontraktor.
“Infrastruktur seharusnya memudahkan rakyat, bukan menyusahkan. Masa yang hilang, minyak yang terbazir dan tekanan emosi pengguna jalan raya adalah satu bentuk ketidakadilan sosial yang tidak boleh dibiarkan,” ujarnya.