
PENAMPANG: Kerajaan Negeri mengalu-alukan kesatuan sekerja sebagai rakan strategiknya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Dalam kerangka pembangunan baharu yang lebih inklusif ini, suara kesatuan perlu didengari dan diberi perhatian serius. Ini bukan sahaja dalam isu gaji dan faedah, tetapi juga dalam penggubalan dasar, perancangan ekonomi, pendidikan, adaptasi teknologi, dan pembentukan persekitaran pekerjaan masa hadapan yang lestari.
“Saya percaya Sabah mampu menjadi negeri contoh di Malaysia dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang bukan sahaja menjana ekonomi yang kukuh, tetapi juga secara konsisten menegakkan hak-hak pekerja,” katanya di perhimpunan Hari Kesatuan Sekerja peringkat negeri Sabah di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata Kerajaan negeri komited dalam memperkasa tenaga kerja, menyokong gerakan kesatuan sekerja dan memastikan kebajikan mereka terpelihara.
“Saya berharap perhimpunan ini akan menjadi platform untuk kita memperkukuhkan semangat kesatuan sekerja dan bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah untuk Sabah,” katanya.
Hajiji berkata di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri memberi fokus utama kepada beberapa agenda penting, antaranya, meningkatkan kerjasama strategik dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Ini penting untuk memperluas perlindungan dan keselamatan sosial kepada semua pekerja, termasuk dalam sektor informal yang sering terpinggir.
“Kita mahu memastikan setiap rakyat Sabah, sama ada di pedalaman mahupun di bandar, diberi peluang yang adil untuk menyumbang dan menikmati hasil pembangunan negeri kita,” katanya.
“Saya melihat perhimpunan ini bukan hanya perhimpunan biasa, tetapi buat julung kalinya kita berkumpul dalam skala besar di Sabah, menandakan satu era baharu bagi gerakan kesatuan sekerja di negeri ini.
“Ia adalah titik permulaan kepada satu gerakan yang lebih tersusun, inklusif, dan
berpaksikan semangat Sabah Maju Jaya,” katanya.
Menurutnya, negeri ini mencatatkan jumlah tenaga buruh melebihi 1.7 juta orang pada
tahun lalu dan sumbangan kolektif daripada tenaga kerja ini telah memacu peningkatan
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah sebanyak RM84.3 bilion.
“Ia telah menyumbang kepada peratusan kenaikan KDNK terutamanya dalam sektor kritikal seperti pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan.
“Dalam konteks data terkini kesatuan sekerja di Sabah, setakat hari ini terdapat sebanyak 92 kesatuan sekerja berdaftar di negeri ini yang dikawal selia oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sabah – merangkumi 23 kesatuan sektor kerajaan, 52 kesatuan sektor swasta dan 16 kesatuan badan berkanun.
“Ini melibatkan keahlian berjumlah 60,764 orang pekerja secara keseluruhan, dengan 22,317 ahli adalah dari sektor kerajaan manakala 35,194 ahli dari sektor swasta dan 3,253 ahli dari Badan Berkanun,” katanya.
Seiring dengan era globalisasi dan revolusi teknologi yang kian pesat, Hajiji menyeru kesatuan sekerja di negeri untuk lebih proaktif dalam menjaga kebajikan ahli mereka menerusi inisiatif dan program yang disediakan sama ada di peringkat pusat atau negeri.
Deasoka