
KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan kerjasama sulit Parti Warisan dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) sebagai langkah politik sempit yang hanya akan menjadikan Sabah sekadar “tabung kekayaan” pihak tertentu tanpa memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, pendedahan mengenai hubungan itu bukan perkara mengejutkan kerana Gagasan Rakyat Sabah (GRS) sudah lama maklum sejak episod Langkah Kinabalu.
“Jentera GRS juga bersedia menghadapi kemungkinan ini. Untuk mengaburi rakyat, Presiden Warisan membawa naratif kononnya mereka bergerak solo dan menjadikan rakyat sebagai rakan kerjasama. Hakikatnya, ini satu pembohongan besar terhadap rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aksyah mengulas pendedahan portal “Sabah Infor” yang memetik laporan Jaceline Tan dalam The Star mengenai pertemuan sulit antara Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut laporan itu, kedua-dua pihak dipercayai membincangkan kemungkinan bergabung selepas PRN-17, termasuk kesediaan Shafie memberi laluan kepada UMNO untuk jawatan Ketua Menteri jika gabungan tersebut menawan semula Sabah.
“Ini bukan sekadar tikam belakang, tetapi memancung rakyat Sabah. Jika benar berlaku, ia akan melahirkan politik ‘Keluarga 69’ yang langsung tidak menguntungkan rakyat,” tegasnya.
Aksyah turut membangkitkan ironi pendirian Pengerusi BN yang sebelum ini pernah bersumpah atas nama Allah dalam Perhimpunan Agung UMNO bahawa tiada kerjasama dengan DAP, namun kini sanggup berkompromi sehingga dilabel dengan gelaran “UMDAP”.
“Jelas sekali semua ini hanya demi kuasa dan kedudukan, bukan untuk rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan GRS jauh berbeza kerana konsisten sejak awal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi kestabilan politik negeri.
“Kerjasama ini lahir daripada keikhlasan dan kejujuran untuk mewujudkan kestabilan. Antara syaratnya ialah lebih dua pertiga kerusi ditandingi GRS, yang membuktikan parti tempatan akan menjadi tonggak utama pemerintahan Sabah,” ujarnya.
Menurut Aksyah, jika kerjasama Warisan-BN menjadi kenyataan, rakyat Sabah tidak perlu bermimpi untuk menuntut hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kuasa sebenar masih dikawal tangan ghaib dari Malaya. Lebih menyedihkan, Sabah hanya akan terus menjadi tabung kekayaan politikus yang rela dijadikan boneka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan dakyah Warisan yang mendakwa kononnya 100 peratus parti tempatan, sedangkan ada agenda tersembunyi yang akhirnya merugikan negeri.
“Jika rakyat tersilap memilih, Sabah hanya mampu bermimpi menjadi wilayah kaya, makmur dan sejahtera. Sebab itu Warisan dan BN wajib ditolak dalam PRN-17 demi memastikan Halatuju Sabah Maju Jaya dapat direalisasikan,” katanya.