
TAWAU : Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM67.76 juta bagi melaksanakan 18 projek prasarana awam di daerah Tawau menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata peruntukan besar itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Menurutnya, antara projek utama yang bakal dilaksanakan ialah pembinaan tapak pelupusan sampah di Bukit Gemok dengan kos RM43 juta, menjadikannya projek pelupusan terbesar di Malaysia.
“Hari ini kita bersyukur kerana sekali lagi diberikan peluang dan amanah untuk menyampaikan sentuhan kasih kerajaan pusat kepada rakyat Sabah yang dikasihi. Sebanyak RM67.76 juta diperuntukkan untuk 18 projek prasarana awam, antaranya tapak pelupusan pusat sanitari di Bukit Gemok Tawau yang menelan belanja RM43 juta.
Ini penting bagi memastikan Tawau sentiasa bersih, ceria, hijau dan membangun sebagai destinasi pelancongan utama di negeri di bawah bayu,” katanya.
Nga berkata, melalui pendekatan Kerajaan Madani, KPKT terus menzahirkan komitmen kepada rakyat dengan pelaksanaan ribuan projek infrastruktur di seluruh negara.
“Dalam tempoh 2023 hingga 2024, KPKT berjaya melaksanakan 11,807 projek prasarana awam termasuk Taman Madani, tandas awam BMW, medan selera, pasar awam, parit, longkang dan jalan.
Ini adalah rekod tertinggi dalam sejarah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Sentuhan Kasih Madani 3.0 di Tawau, hari ini.