KOTA KINABALU: Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (Rela) Negeri Sabah, menyambut baik jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai pelaksanaan penyerahan 40 peratus hasil negeri kepada Sabah, namun menegaskan komitmen itu tidak boleh sekadar menjadi retorik politik.
Presidennya, Briged Jeneral Kehormat (Rela), Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said, berkata rakyat Sabah telah terlalu lama menunggu penyelesaian isu yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu.
“Keputusan PRU Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 jelas menjadi isyarat bahawa rakyat Sabah mahu Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan hak Sabah yang tertangguh sekian lama.
“Jaminan Perdana Menteri sangat dialu-alukan, tetapi rakyat Sabah berharap ia bukan sekadar kenyataan untuk meredakan keadaan. Kita tidak mahu lagi mendengar alasan atau penangguhan baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Jerry, penjelasan PMX bahawa mesyuarat pertama mengenai kaedah pembayaran akan diadakan sebelum pertengahan Januari 2026 merupakan langkah positif, tetapi beliau mengingatkan bahawa Sabah telah menunggu lebih enam dekad untuk tuntutan itu diselesaikan.
“Empat kekosongan dalam Kabinet bukan alasan untuk melambatkan pelaksanaan perkara yang sudah termaktub dalam MA63. Rakyat Sabah mahukan jadual pelaksanaan yang jelas dan pembayaran balik yang tidak lewat,” katanya.
Jerry menambah, keputusan PRU DU Sabah baru-baru ini menunjukkan rakyat Sabah semakin tegas dalam menuntut hak negeri, termasuk isu hasil 40 peratus, penyerahan kuasa elektrik dan perkara-perkara lain di bawah MA63.
“Ini mesej yang sangat kuat. Rakyat menuntut tindakan, bukan penangguhan. Jika Kerajaan Persekutuan benar-benar komited, maka pelaksanaan hak Sabah perlu dipercepat dan tidak lagi digantung dengan alasan teknikal atau politik,” katanya.
Jerry turut menyatakan keyakinan bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, akan terus memainkan peranan penting dalam jawatankuasa teknikal bagi memastikan hak Sabah dikembalikan secara menyeluruh.
“Kita mahu melihat sinergi antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan diterjemahkan dengan keputusan yang nyata. Sabah sudah lama bersabar,” katanya.
Beliau berharap pertemuan Januari depan benar-benar menghasilkan mekanisme pembayaran yang tegas, teratur dan konsisten demi kepentingan rakyat Sabah.
