
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyokong visi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Penjagaan Paliatif Pediatrik Malaysia (MAPPAC) untuk
menubuhkan hospis kanak-kanak pertama di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kerajaan Negeri mengiktiraf kepentingan penjagaan paliatif untuk kanak-kanak. Menangani cabaran ini merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan kitauntuk memperkukuh keadilan dalam sistem kesihatan dan meneguhkan komitmen kita terhadap pembangunan berteraskan rakyat,” katanya.
Inisiatif MMA dengan kerjasama MAPPAC untuk mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran bagi membina Hospis Kanak-Kanak di Sabah menerusi SEPEDA Amal Borneo 2025, satu kempen berbasikal rentas Borneo, merupakan satu usaha yang
mulia, katanya pada majlis makan malam kutipan dana SEPEDA di Hotel Hilton malam ini.
Ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.
“Kanak-kanak yang mengalami penyakit serius dan tidak dapat disembuhkan bukan sahaja memerlukan perhatian perubatan, tetapi juga maruah, keselesaan dan
ketenangan – di mana jua mereka berada, sama ada di hospital atau di rumah.
“Keluarga mereka pula memerlukan sokongan, pemahaman dan keyakinan bahawamereka tidak menempuh perjalanan yang sukar ini bersendirian.
“Secara keseluruhan, dianggarkan 80,000 kanak-kanak di seluruh negara memerlukan penjagaan sebegini, dan di Sabah sahaja, sekitar 9,000 kanak-kanak menghidap
penyakit yang mengancam nyawa serta tidak boleh disembuhkan.
“Kanak-kanak ini dan keluarga mereka berhak mendapat bukan sahaja rawatan perubatan, tetapi juga belas kasihan, maruah dan sokongan sepanjang perjalanan hidup mereka,” katanya.
Ketua Menteri berkata walaupun kemajuan telah dicapai, akses kepada penjagaan paliatif pediatrik khusus masih terhad di beberapa kawasan di Sabah, khususnya di
kawasan pedalaman.
Deasoka