KIULU: Kerajaan Negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti dominan akan memastikan kestabilan politik di Sabah, kata Ketua Menteri/Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata hanya melalui kestabilan politik dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dapat membawa lebih banyak pembangunan dan melaksanakan rancangannya untuk mewujudkan Sabah yang makmur.
Katanya, adalah penting bagi rakyat untuk terus menyokong GRS “kerana kita mahu menjaga negeri kita sendiri.”
“Kita memerlukan sokongan rakyat dan GRS mesti dikembalikan sebagai Kerajaan dalam pilihan raya ini untuk memastikan kestabilan politik di Sabah, ” katanya pada majlis bersama rakyat di Dewan Terbuka Kiulu hari ini.
Hajiji yang juga calon GRS bagi Sulaman menolak dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil segala-galanya daripada Sabah.
“Sebagai sebuah negara, kita juga mesti mempunyai kerjasama yang kuat dengan Persekutuan. Tetapi itu tidak bermakna kita tunduk kepada mereka.
“Dalam setiap pertemuan, saya sentiasa tegas dan berpendirian kukuh dalam mempertahankan tuntutan hak-hak Sabah, ” katanya.
“Adalah satu kerugian bagi negeri jika GRS tidak dapat meneruskan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, ” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan GRS telah gagal, Hajiji berkata keadaan adalah sebaliknya.
“Pembangkang hanya mampu menjadi Kerajaan Negeri selama lebih dua tahun sahaja. Ini bermakna merekalah yang gagal, ” katanya.
Beliau berkata pembangkang telah kehabisan idea, penuh dengan retorik dan hanya membangkitkan isu tanpa isi.
Hajiji turut yakin bahawa calon GRS bagi Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, akan dikembalikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri berikutan khidmatnya kepada para pengundi di kawasan tersebut.
“Dengan hanya empat hari lagi sebelum pilihan raya, saya menyeru rakyat untuk membuat pilihan yang tepat dan memastikan semua kejayaan yang telah kita capai dapat diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang, “katanya.
