
Kota Kinabalu : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa pelbagai projek jangka pendek dan panjang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menyelesaikan isu bekalan air di seluruh negeri.
Menurut beliau, dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa masalah air boleh diselesaikan dalam masa setahun tidak mencerminkan realiti sebenar kerana setiap projek bekalan air melibatkan proses teknikal, kelulusan dan pembinaan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.
“Ramai bertanya mengapa projek air lambat siap, tetapi hakikatnya kita tidak mempunyai kayu sakti untuk menyiapkannya dalam sehari. Namun, usaha untuk menyelesaikan masalah ini sedang berjalan dengan serius dan terancang,” katanya.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk Loji Rawatan Air Kogopon II di Papar dan Empangan Cinta Mata di Tawau, kedua-duanya dijangka siap pada tahun 2026. Kedua-dua projek ini merupakan antara pelan jangka sederhana kerajaan bagi menstabilkan bekalan air di kawasan berisiko tinggi.
Selain itu, Empangan Hidro Ulu Padas dan Skim Bekalan Air Ulu Padas turut dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030. Projek tersebut akan menjadi penyelesaian jangka panjang dengan kapasiti sehingga 6,000 juta liter sehari (MLD), menjadikannya antara sumber utama air bersih untuk negeri Sabah.
Hajiji berkata, beberapa projek sistem bekalan air luar bandar turut giat dilaksanakan, termasuk di Pitas, Lahad Datu dan Semporna, yang dijangka siap menjelang tahun 2026. Projek lain yang sedang dirancang termasuk Muka Sauk baharu di Limbahau (2027) dan Loji Rawatan Air Banggi yang disasarkan siap antara tahun 2028 hingga 2029.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri juga telah menyiapkan beberapa projek utama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, antaranya LRA Simoangan di Kota Marudu (siap Mac 2023), Projek LRA Kundasang (siap November 2023), LRA Telibong I dan II di Tuaran (siap Januari 2023 dan Februari 2024) serta LRA Kasigui (siap Ogos 2025).
Turut siap sebelum ini ialah LRA Beaufort II (2021), Loji Rawatan Air Dewata Lahad Datu (2024), LRA Semporna (2021), LRA Apin-Apin Keningau (2022) dan Loji Rawatan Air Ulu Mamut Ranau yang dijangka siap tahun depan.
“Kesemua projek ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri di bawah GRS untuk menyelesaikan masalah air di Sabah secara menyeluruh dan berperingkat. Penyelesaian yang mampan memerlukan masa dan pelaksanaan berfasa agar sistem bekalan air kita benar-benar stabil,” katanya.
Beliau turut menyindir pihak yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah air dalam masa setahun, sambil menegaskan bahawa usaha sebenar memerlukan perancangan rapi dan pelaksanaan konsisten.
“Kalau ada individu yang berulang-ulang menyebut boleh selesaikan masalah air dalam masa setahun, mungkin ini yang dimaksudkan beliau,” katanya.
Hajiji menambah, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda utama kerajaan negeri di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan infrastruktur asas dan kesejahteraan rakyat.