SEMPORNA : Kerajaan terus memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara apabila sebanyak RM65.28 juta telah dibelanjakan bagi projek pembinaan Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna, sebuah fasiliti strategik yang bakal menjadi benteng hadapan kawalan maritim di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Majlis Penyerahan Separa Projek Siap Kompleks Zon Maritim Semporna yang diadakan hari ini menandakan satu kejayaan penting dalam pembangunan infrastruktur keselamatan negara.
Penyerahan projek ini dilaksanakan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku pemilik projek, dan disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman, dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Saifuddin menegaskan bahawa pembinaan kompleks ini membuktikan Sabah tidak pernah dipinggirkan, sebaliknya terus menjadi keutamaan Kerajaan dalam aspek keselamatan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI melalui KDN sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha memperkukuh keselamatan di seluruh negeri ini.
Terletak di Batu 1, Jalan Bubul, Tampi-Tampi, Semporna, kompleks ini dibina di lokasi strategik berhampiran perairan Filipina dan Indonesia.
Kompleks berkenaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bangunan pentadbiran utama, bangunan sokongan dan logistik, jeti operasi dan marina untuk kapal serta bot Maritim Malaysia, helipad, padang kawad, gelanggang sukan dan kuarters perumahan anggota.
“Apabila siap sepenuhnya, kompleks ini akan menjadi pusat operasi dan rondaan utama Zon Maritim Semporna, selain berfungsi sebagai hab koordinasi keselamatan dan latihan bersama ESSCOM, PDRM dan TLDM,” katanya.
Kemudahan moden yang disediakan diyakini mampu memperkukuh kawalan keselamatan perairan Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur yang sering berdepan ancaman penyeludupan, kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan.
“Kompleks ini akan membolehkan pasukan Maritim Malaysia bertindak lebih pantas dan efisien terhadap sebarang insiden keselamatan maritim, di samping meningkatkan kehadiran aset serta moral anggota di lapangan,” ujar Saifuddin lagi.
Majlis pada hari ini turut menandakan satu lagi kejayaan besar Kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur keselamatan maritim negara, sejajar dengan hasrat Malaysia MADANI untuk memastikan negara terus aman, selamat dan berdaulat.
