
BANDAU: Pengumuman keputusan dan pendirian Ketua Bahagian, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Bandau, Ardino Diris, untuk terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bukan keputusan individu, sebaliknya hasil muafakat akar umbi parti di kawasan itu.
Ketua Penerangan STAR Bahagian Bandau, Felix Kain, menegaskan keputusan tersebut dibuat berdasarkan perbincangan dan persetujuan pemimpin di semua peringkat, melibatkan 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta lebih 50 Jawatankuasa Pemimpin Komuniti (JPK), yang bersatu menyokong hala tuju bersama dalam gabungan kerajaan negeri.
“Ketua Bahagian (KB) tidak bertindak sendirian. Beliau mendengar dan menghormati suara ramai kerana kepimpinan yang baik berpaksikan pandangan akar umbi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas kenyataan Timbalan KB yang mendakwa terdapat 13 PDM dengan keahlian aktif seramai 4,000 orang, Felix mengucapkan tahniah atas semangat dan kerja keras yang ditunjukkan dalam menggerakkan parti, namun menegaskan bahawa setiap aktiviti dan laporan rasmi perlu disalurkan melalui Pejabat Bahagian.
Katanya, berdasarkan laporan Setiausaha Bahagian, terdapat gerakan tertentu yang tidak dimaklumkan secara rasmi, menimbulkan persepsi seolah-olah wujud dua kumpulan kepimpinan dalam Bahagian Bandau dan akhirnya mengelirukan ahli serta penyokong di lapangan.
“Saya pernah mengingatkan rakan-rakan AJK — janganlah kita undi KB, kemudian meninggalkan beliau. Ibarat menanam benih tetapi tidak menyiramnya. Malangnya, apa yang dirisaukan dahulu kini benar-benar berlaku,” katanya.
Felix turut menegaskan bahawa keputusan Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, tetap dihormati dan diterima sebagai arahan parti, namun dalam masa sama, beliau yakin Presiden memahami tindakan Ketua Bahagian yang berpaksikan suara majoriti akar umbi.
“Presiden kita seorang pemimpin yang rasional dan sentiasa mendengar pandangan di bawah. KB tidak melawan, sebaliknya menyuarakan kehendak ramai yang mahu terus bersama GRS,” ujarnya.
Felix turut menolak tanggapan bahawa tindakan KB sebagai usaha memecahbelahkan parti dari dalam, sebaliknya menegaskan perbezaan pendapat adalah lumrah dalam perjuangan politik.
“Pandangan bahawa mereka yang tidak sehaluan wajar berundur boleh diterima, namun menyerahkan jawatan adalah hak individu dan tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya.
Menurutnya, ahli parti wajar menilai keadaan secara rasional dan adil, tanpa terpengaruh dengan persepsi yang boleh menjejaskan kesatuan dalaman STAR.
“Yang penting ialah keutuhan dan maruah parti dijaga. Jangan kerana perbezaan kecil, perjuangan besar kita terjejas,” tambahnya.
Felix turut menjelaskan isu ketidakhadiran KB dalam program bersama Presiden pada 19 September lalu bukan disengajakan, sebaliknya berpunca daripada kekeliruan jadual.
Menurut beliau, Mesyuarat Bahagian pada 17 Ogos 2025 telah memutuskan agar program bersama Presiden dilaksanakan sekitar awal Oktober, namun tarikh sebenar belum dimuktamadkan ketika itu.
“Program 19 September itu diatur tanpa pengetahuan rasmi Bahagian. SUB Bahagian hanya menerima makluman sehari sebelum program berlangsung. Pada masa sama, KB telah dijadualkan menghadiri program di PDM Panaitan. Ini bukan disengajakan, hanya kekeliruan penyelarasan,” jelasnya.
Felix turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa aktiviti parti dijalankan tanpa pengetahuan Bahagian, termasuk penghantaran borang keahlian melibatkan nama individu yang telah meninggal dunia serta pelantikan Ketua PDM dan JPK tanpa pengesahan Ketua Bahagian.
“Tindakan membelakangkan kepimpinan Bahagian menjejaskan kredibiliti dan rekod rasmi organisasi. Semua urusan perlu berpaksikan disiplin dan saluran yang sah,” tegasnya.
Menurut Felix, sehingga kini 12 daripada 22 ahli jawatankuasa Bahagian Bandau, termasuk enam AJK dipilih dan enam AJK lantikan, kekal menyokong kepimpinan Ketua Bahagian untuk terus bersama dalam GRS.
“Peristiwa ini harus menjadi pengajaran kepada semua Bahagian STAR agar tidak membiarkan perbezaan pandangan memecahkan keutuhan parti,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli STAR di Bandau agar kembali bersatu di bawah panji perjuangan asal yang diasaskan oleh Presiden parti.
“DUN Bandau dan perjuangan yang diasaskan oleh Dr. Jeffrey Kitingan adalah amanah bersama. Bersatu, berjuang dan berbakti demi Bandau dan STAR Sabah,” tegasnya.