KENINGAU: Hasrat rakyat Keningau untuk memiliki hab pengangkutan awam yang moden dan selesa bakal menjadi kenyataan apabila Kerajaan Negeri Sabah meluluskan pembinaan Terminal Bas Pengangkutan Awam Bersepadu Keningau (Keningau Sentral) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030).
Ketua Penyelaras Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Robert, berkata projek berimpak tinggi itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri sebagai usaha memperkukuh sistem mobiliti rakyat di kawasan pedalaman.
“Keningau Sentral akan menjadi pemangkin kepada sistem pengangkutan awam yang lebih moden, efisien dan tersusun, selain membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurut beliau, terminal baharu itu akan dibina di kawasan strategik dengan keluasan 30,000 kaki persegi, lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk ruang hentian berbumbung, tandas awam, surau, ruang niaga, 500 petak parkir, serta sistem keselamatan yang dilengkapi pagar dan kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, Keningau Sentral turut dirancang sebagai pusat utama perhentian bas bagi laluan setempat dan jarak jauh, meliputi destinasi utama seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Sipitang, Beaufort, Menumbok, Tambunan, Tenom, Sook, Nabawan, Ranau dan Sandakan.
Rafie menegaskan bahawa kewujudan terminal itu bukan sekadar memudahkan pergerakan rakyat, tetapi juga bakal merancakkan ekonomi daerah melalui pembangunan aktiviti perniagaan kecil dan sederhana di sekitar kawasan terminal.
“Ia akan memberi limpahan ekonomi kepada para peniaga tempatan serta membuka peluang pekerjaan baharu, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri memperkukuh kesejahteraan rakyat di luar bandar,” katanya.
Rafie turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas keprihatinan dan komitmen terhadap pembangunan infrastruktur di daerah Keningau.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa kepimpinan negeri sentiasa menunaikan janji dan mendengar suara rakyat, khususnya dalam memastikan Keningau terus berkembang sebagai pusat ekonomi penting di pedalaman Sabah,” katanya.
Menurutnya, dengan pelaksanaan projek Keningau Sentral ini, daerah Keningau dijangka muncul sebagai nadi baharu sistem pengangkutan awam di pedalaman, sekali gus menandakan langkah besar ke arah pembangunan lebih seimbang antara bandar dan luar bandar di Sabah.
