
LAHAD DATU : Seramai sebelas orang ahli Persatuan Pengusaha Burung Walet Melayu Zon Timur Semenanjung Malaysia (PERWALET) dari Terengganu telah mengadakan lawatan ke Sabah dengan mengunjungi Gua Madai di Kunak pada Selasa lalu, diikuti Gua Gomantong Kinabatangan pada keesokan harinya.
PERWALET ditubuhkan pada tahun 2010 dengan nama asal Persatuan Pengusaha Burung Walet Melayu Terengganu sebelum diperluas keahliannya ke negeri Kelantan dan negeri Pahang.
Presiden Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS), Haji Abdul Karim Haji Dakog, berkata Gua Madai adalah gua warisan Etnik Idahan manakala Gua Gomantong adalah gua milik kerajaan dan kedua-duanya terkenal dengan pengeluaran sarang burung walit jenis hitam dan putih yang bernilai tinggi serta sering dikunjungi pelawat, penyelidik dan masyarakat dalam dan luar negara untuk menyaksikan keunikan adat penuaian sarang burung yang diwarisi sejak turun-temurun dan mengkaji bagaimana pengurusan gua sarang burung oleh pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Hasrat kembara ini adalah untuk melihat sendiri proses penuaian sarang burung walet di habitat semula jadi, iaitu gua, yang biasanya dilakukan penuaian hanya dua hingga tiga kali setahun,” ujar ketua rombongan PERWALET, Haji Abdul Hadi Abdullah.
Sarang burung khususnya dari Gua Madai dan Gua Gomantong terkenal berkhasiat tinggi dan sering dijadikan ramuan dalam sajian seperti sup sarang burung.
Abdul Karim menegaskan bahawa pemeliharaan gua sarang burung bukan sahaja penting dari segi ekosistem dan biodiversiti, tetapi juga berkait rapat dengan adat-istiadat etnik Idahan yang mempunyai hak pemilikan turun-temurun ke atas gua-gua warisan di Teluk Darvel Pantai Timur Sabah.
Ketibaan rombongan PERWALET di Gua Madai disambut oleh Setiausaha Agung PEIS Hajah Rusnanie Hj. Itong, Ketua Jawatankuasa Adat-istiadat PEIS Haji Suti Gaib, Exco Kebudayaan dan Kesenian PEIS puan Harijah Abdul Kadir, Exco Pameran PEIS puan Ramiah Aliramshah, Ketua Madai KM Hisyam Hj. Abdul Karim, Ketua Jawatankuasa Gua Madai Mohd Maju Jaya Musair, Ketua Kampung Sapagaya Hulu Intan Mewah Musair, Jawatankuasa Kecil PEIS Hj. Jani Kiang, pegawai dan kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah serta pewaris-pewaris sarang burung Etnik Idahan (Ida’an) Sabah.