
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beluran mengalu-alukan kenyataan Jabatan Peguam Negara semalam yang mengarahkan siasatan lanjut, termasuk menggali semula mayat (exhume) dan menjalankan post-mortem lanjut dalam kes kematian Zara Qairina.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah ini adalah permulaan penting untuk menangani dakwaan keluarga Zara serta persepsi rakyat bahawa wujud kelemahan dan kepincangam dalam siasatan awal yang dilaksanakan.
“Oleh itu, saya menegaskan bahawa skop siasatan yang sebelum ini kecil dan terhad mesti disusuli segera dengan satu prosiding inkues, seperti diminta oleh pihak keluarga melalui peguam mereka sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ronald yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Sabah berkata, perhimpunan besar-besaran Justice for Zara semalam membuktikan solidariti dan kebangkitan rakyat dalam menuntut keadilan kepada mangsa dan keluarganya.
Katanya, tragedi yang menimpa Zara Qairina bukan sekadar tragedi sebuah keluarga tetapi ia adalah ujian besar terhadap nilai keadilan, integriti, dan kejujuran institusi yang terlibat dalam siasatan, termasuk Kementerian Pendidikan.