KENINGAU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Nissan UD lapan tan yang membawa muatan telur di Kampung Bariawa Ulu, di sini pagi Khamis.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PBK I Ranizan Samirin, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.08 pagi sebelum sebuah jentera FRT dan EMRS dengan kekuatan tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira enam kilometer dari balai. Pasukan tiba pada jam 9.15 pagi.
Sebaik tiba pasukan mendapati lori terbabit telah terbabas dan terbalik di tepi jalan. Tiga mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
Seorang mangsa yang mengalami kecederaan ringan berjaya keluar sendiri dari kenderaan manakala dua lagi mangsa didapati tersepit di bahagian papan pemuka dan dihempap struktur lori.
Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas penyelamatan jalan raya (RTA) serta Telescopic Ram secara manual (Hand Foot Pump) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit. Mereka kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut manakala dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.59 tengah hari setelah pihak bomba memastikan tiada risiko lain di lokasi.
