
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan politik lalu dengan menukar kerajaan yang terbukti membawa kestabilan dan kemajuan kepada negeri ini di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, muncul banyak pihak yang “kemaruk kuasa” dan sanggup mengeluarkan kenyataan yang tidak berasaskan fakta semata-mata untuk mengelirukan rakyat.
“Mereka bercakap ikut nafsu, lupa bahawa setiap kata dan tindakan akan dipersoalkan di akhirat nanti. Kenyataan yang dilontarkan jauh dari realiti dan menyesatkan, dan hanya digemari oleh mereka yang suka melihat kerosakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aksyah menegaskan, fakta jelas menunjukkan bahawa Sabah mencapai banyak kemajuan di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – PH Plus pimpinan Hajiji.
Katanya, antara pencapaian utama yang diketengahkan ialah; Politik negeri yang stabil hasil kerjasama erat antara parti-parti komponen atas dasar kejujuran dan keikhlasan; Hasil negeri meningkat, walaupun berdepan turun naik kadar pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, perdagangan semakin kukuh dan pelabur asing menunjukkan minat menanam modal di Sabah; Masalah infrastruktur asas seperti air dan elektrik dalam penyelesaian tuntas, dengan pelaksanaan projek-projek besar untuk mengatasi legasi lama; dan program pembangunan sosioekonomi rakyat semakin meluas hasil kekukuhan kewangan kerajaan negeri.
“Semua ini bukan janji, tetapi bukti hasil kerja dan kefahaman mendalam pemimpin terhadap denyut nadi rakyat Sabah,” tegasnya.
Tambah Aksyah, kekuatan sebenar GRS ialah kerana ia diterajui oleh parti tempatan Sabah, yang memberi ruang kepada kerajaan negeri membuat keputusan lebih bebas dan berfokus kepada kebajikan rakyat tanpa perlu menunggu lampu hijau dari luar.
“Tidak ada lampu ajaib Aladdin, tetapi hasilnya nyata dan progresif. Semua dilakukan dengan pendekatan realistik, bukan fantasi,” ujarnya.
Dalam seruannya kepada rakyat Sabah, Aksyah menekankan bahawa mengekalkan kerajaan GRS bukan hanya pilihan politik, tetapi juga lambang kebijaksanaan dan maruah rakyat negeri ini.
“Sabda Rasulullah SAW, seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Jika kita tersilap langkah dan mengulanginya, itu tanda kebodohan. Takkanlah rakyat Sabah mahu dilihat begitu?” katanya.
Beliau menegaskan, Sabah perlu terus diterajui oleh pemimpin yang telah membuktikan keupayaan membawa perubahan dan kesejahteraan kepada rakyat, bukan mereka yang datang dengan janji manis tetapi gagal menunaikannya sebelum ini.
“Pertahankan Sabah daripada dijarah oleh golongan yang berpura-pura. GRS telah membuktikan kemampuan membina semula negeri ini dengan jujur dan berprinsip,” katanya.