KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Pusat tidak meneruskan rayuan terhadap pemberian khas 40 peratus hasil Sabah merupakan simbolik kepada kebijaksanaan kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS dan sekutu.
Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, keputusan berkenaan sekaligus menutup mulut pengkritik yang selama ini memandang enteng perjuangan GRS dan pihak berwajib memperjuang isu tersebut.
Menurutnya, ia juga memperlihatkan sisi kematangan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang membawa perkara itu dengan hemah, kematangan politik dan bersifat kewarganegaraan tanpa mencetus konflik mudarat.
“Dengan pengumuman kerajaan persekutuan itu, maka sahlah perjuangan yang meniti cabaran panjang selama ini akhirnya membawa kejayaan.
“GRS, Hajiji, SLS dan rakan-rakan seperjuangan lain telah menunjukkan sikap komited dalam perihal ini dengan ianya harus menerima pujian.
“Malah dengan itu juga, ia akhirnya dapat menutup mulut pengkritik yang kononnya Hajiji tidak berjuang untuk martabat Sabah, lihatlah hasilnya sekarang, ” katanya.
Terdahulu, Pejabat Peguam Negara (AGC) memaklumkan tiada sebarang rayuan di lakukan oleh Persekutuan mengenai keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia, baru-baru ini.
Ia merupakan isu Sabah bagi mendapatkan hak fiskalnya di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Persekutuan juga telah bersetuju untuk melakukan rundingan segera bagi tujuan tersebut.
“Ia adalah kemenangan rakyat Sabah dan sekaligus membuktikan kerajaan GRS serta sekutunya sebelum ini peka dengan isu berkenaan, “katanya.
