
KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan merupakan kejayaan bersama semua rakyat di negeri ini.
Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, usaha keras pihak SLS dan Kerajaan Negeri yang sentiasa mengadakan pendekatan holistik dengan Pusat perlu diberi pujian ramai dalam mendepani situasi menang-menang antara semua pihak.
Jelasnya, keputusan tersebut sekaligus memperlihatkan sikap komited pihak kerajaan negeri untuk membantu segenap segi meskipun melibatkan entiti lain bagi menjayakan usaha memartabat hak Sabah.
“Sebelum ini, bekas presiden SLS, Roger Chin juga turut memuji sumbangan penting kerajaan Sabah yang membawa kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan.
“Beliau menyentuh kerajaan diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor secara berterusan menegakkan dan memperjuangkan hak Sabah.
“Oleh yang demikian, kita juga perlu memberi kredit kepada Ketua Menteri yang mana di bawah pentadbiran beliau sangat komited dalam memperjuangkan hak Sabah dan perihal lain yang berkaitan, syabas Kerajaan Negeri…ini adalah kejayaan kita bersama, ” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh SLS berhubung hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya turut mengarahkan supaya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah itu, seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan berasingan, Najib Tay meminta rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan anasir memburuk-burukkan Hajiji susulan keputusan kehakiman terbabit yang disifatkan sekadar naratif politik jahat.
“Ada sesetengah pihak mempertikai fungsi Ketua Menteri malah ada yang memperlekeh yang kononnya Hajiji dan kerajaan hanya menumpang kepada kejayaan semakan berkenaan.
“Bukankah selama ini kerajaan sentiasa memberi pencerahan terhadap isu ini dari awal perkembangannya?
“Saya beranggapan mereka yang mengkritik ini sudah buta hati kerana naratif politik mereka sehingga sanggup membuang kebenaran dan hidup dalam penafian, ini adalah budaya politik yang songsang,” katanya.