
LAHAD DATU : Usahawan kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah digalakkan agar terus berinovasi dan memanfaatkan peluang memasarkan produk tempatan menerusi platform korporat strategik seperti Kedai Mesra PETRONAS bagi memperkukuh ekonomi negeri.
Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Siti Nur’ain Abdullah, berkata kerjasama antara DIDR dan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) bukan sahaja membuka ruang pemasaran lebih luas kepada usahawan tempatan, malah menjadi pemangkin kepada ekosistem keusahawanan yang mampan di negeri ini.
“Program ini bertujuan memperkasakan usahawan PMKS Sabah dengan peluang memasarkan produk mereka di Kedai Mesra PETRONAS tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Sejak dilaksanakan pada tahun 2021, seramai 290 usahawan tempatan telah berjaya menembusi pasaran runcit dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM3.74 juta sehingga Januari 2025,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Pesta IKS Siuk Bah, anjuran Midas Virtue Sdn Bhd dengan kerjasama PDB dan DIDR Sabah, yang berlangsung di perkarangan Stesen Minyak PETRONAS Batu 8, Jalan Silam, Borneo Industrial Center, Lahad Datu, hari ini.
Program berkenaan menarik lebih 150 pengunjung dan turut disertai ramai usahawan tempatan.
Turut hadir ialah Matthew Wong, Pengurus Operasi Runcit (Non-Fuel) Sabah, Sarawak dan Labuan, PDB; Azizul Amran, Ketua Cawangan KPDN Lahad Datu; Muhidin Asfar Sahrul, Pengurus Bahagian Runcit Bahan Api Wilayah Sabah dan Labuan; serta Ayu Fidura Kassim, Pengurus Stesen Minyak PETRONAS Batu 8, Jalan Silam.
Siti Nur’ain turut menegaskan bahawa Kedai Mesra PETRONAS kini memainkan peranan penting dalam memperkenalkan produk buatan Sabah seperti kraftangan, amplang dan kuih cincin kepada pelancong serta pengguna luar.
“DIDR komited untuk terus menyokong usaha ini agar produk usahawan Sabah kekal berdaya saing dan dikenali di peringkat nasional, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri memperkasa sektor keusahawanan.
Malah, kita berharap program seperti ini dapat diperluaskan ke Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” ujarnya.