
TAWAU: Sebanyak 26 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya di sini pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.37 pagi melalui MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi sejauh lapan kilometer.
Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 9.48 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan 25 buah rumah jenis tidak kekal dan sebuah rumah separuh kekal yang terbakar 100 peratus. Kebakaran turut memusnahkan sebuah motosikal.
Komander Operasi, PBK I Jehrey Ibno bersama Komander Operasi Kanan, PPgB Madzlan Sharman mengetuai 39 anggota bomba dengan bantuan tujuh anggota Bomba Komuniti.
Turut membantu, lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta empat wakil Sabah Electricity.
Operasi pemadaman menggunakan teknik ofensif dan defensif bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Pasukan bomba menggunakan satu aliran 300 kaki, dua aliran 200 kaki serta pam angkut dengan sumber air terbuka selain tangki jentera bomba.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.14 pagi dan operasi tamat pada jam 11.45 pagi. Pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya.
Sebanyak 1,300 buah rumah di kawasan berhampiran berjaya diselamatkan.
Kesemua penghuni rumah yang terbakar dilaporkan sempat keluar menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba.