LAHAD DATU: Kejadian kebakaran tragik yang meragut dua nyawa dalam insiden di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sentul baru-baru ini menjadi peringatan jelas bahawa bencana kebakaran adalah sesuatu yang pasti berlaku tanpa mengira lokasi, masa atau keadaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata saban tahun negara terus berdepan kes kebakaran, termasuk di Sabah dan daerah Lahad Datu sekali gus membuktikan bahawa kebakaran bukan lagi satu kemungkinan sebaliknya satu kepastian.
Bagaimanapun menurut beliau di sebalik satu perkara yang pasti itu terdapat tiga perkara yang tidak pernah dapat dipastikan iaitu siapa yang akan menjadi mangsa, di mana kebakaran akan berlaku dan bila kejadian tersebut akan terjadi.
“Tiada siapa menyangka PPR Sentul akan terbakar, tiada siapa mengetahui dua beranak ini akan terkorban dan tiada siapa mampu meramal kebakaran itu berlaku tepat jam 7.18 pagi,” katanya .
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengenai insiden kebakaran PPR Sentul yang meragut dua nyawa baru- baru ini.
Sehubungan itu beliau menegaskan bahawa setiap individu dan pihak berkaitan secara automatik memikul dua tanggungjawab utama iaitu mencegah dan memadam kebakaran tanpa perlu dipaksa atau digesa.
Menurut Samsoa, usaha pencegahan merupakan langkah paling penting selaras dengan pepatah ‘mencegah lebih baik daripada merawat’, bahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menggariskan pelbagai langkah keselamatan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya kebakaran.
Namun begitu beliau mengingatkan bahawa manusia tidak mampu menolak ketentuan Ilahi sekiranya kebakaran ditakdirkan berlaku.
“Oleh itu, peranan kedua yang tidak kurang penting ialah keupayaan untuk memadam kebakaran pada peringkat awal. Setiap orang perlu memiliki ilmu asas pemadaman kebakaran supaya berani dan yakin bertindak apabila berdepan situasi kecemasan,” katanya.
Tambah beliau, tindakan pantas, berani dan tepat oleh orang awam sebagai ‘first responder’ berupaya menghalang kebakaran kecil daripada bertukar menjadi tragedi besar yang meragut nyawa dan harta benda.
Sebagai rumusan Samsoa menekankan Formula 132 dalam kesedaran keselamatan kebakaran, iaitu satu perkara yang pasti berlaku, tiga perkara yang tidak pasti serta dua peranan utama semua pihak iaitu mencegah dan memadam kebakaran.
