PITAS: Sebuah asrama di Sekolah Kebangsaan Pinapak, Pitas, terbakar dalam satu insiden pagi tadi namun kejadian berjaya dikawal pantas oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Sabah.
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 08:13 melalui talian Balai Bomba Pitas sebelum jentera bergerak menuju lokasi yang terletak kira kira 28 kilometer dari balai.
Komander Operasi PBK I Farro Ryson Gusar berkata kebakaran melibatkan sebuah bangunan asrama jenis kekal berkeluasan kira kira 70 kali 80 kaki persegi.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah offensive dengan satu aliran sepanjang 200 kaki serta dua pancutan menggunakan sumber air dari jentera bomba.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 08:58,” katanya.
Operasi turut dibantu dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu bersama sebuah water tanker. Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia.
Secara keseluruhan seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi ini melibatkan jentera CFRT dari BBP Pitas serta water tanker dari BBP Kota Marudu.
Maklumat lanjut berhubung punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
