
KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sabah menegaskan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusinya baru-baru ini tidak pernah menganggap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai liabiliti dalam kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata kenyataanDatuk Mustapha yang dilaporkan Malaysiakini adalah respon kepada pandangan Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi pada 14 Ogos lalu.
“Respon Pengerusi MPN Keadilan Sabah hanyalah menyatakan kegusaran beliau terhadap pandangan itu. Malangnya ia telah disalah tafsir seolah-olah menuduh GRS sebagai beban dalam kerjasama politik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, apa yang sepatutnya difahami ialah komitmen Keadilan Sabah untuk memastikan kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat demi kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama baik antara PH dan GRS perlu dipertahankan, bukan dipertikai. Malah pimpinan GRS seharusnya bersyukur kerana komitmen Perdana Menteri dan PH Sabah telah menyelamatkan kerajaan negeri daripada bertukar tangan ketika Langkah Kinabalu sebelum ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Keadilan Sabah menghormati kepimpinan Ketua Menteri dan mengiktiraf kerjasama baik antara GRS-PH, namun berharap pandangan mereka tidak disalah erti hanya kerana laporan media yang kadangkala tidak mencerminkan maksud sebenar.
Ahmad Farid dalam pada itu menggesa agar rundingan pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan segera secara adil dan strategik, selain menekankan proses berunding mesti dilakukan bersama pimpinan PH Sabah, bukannya hanya dengan parti komponen semata-mata.