
Lahad Datu : Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh benteng keselamatan negara apabila tiga aset baharu, termasuk dua bot jenis Rigid Hull Fenders Boat bernilai RM4.4 juta, diserahkan kepada pasukan keselamatan bagi meningkatkan kawalan dan rondaan di perairan strategik, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata dua bot diserahkan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) manakala sebuah lagi kepada Pasukan Polis Marin (PPM) di bawah Pasukan Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Beliau berkata, penyerahan aset berkenaan sejajar dengan pelaksanaan fasa kedua Strategi Kawalan Operasi Perairan (SKOP) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kawalan keselamatan serta kesiapsiagaan operasi pasukan di lapangan.
“Penyerahan bot ini meningkatkan keupayaan rondaan kita. Rondaan dari PGA dan ESSCOM di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti tentunya terus meningkatkan keyakinan kita dengan pengerahan bot yang mempunyai keistimewaannya sendiri.Yang penting, bot ini berupaya melakukan tindak balas pantas terhadap ancaman dan aktiviti penyeludupan yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, projek bernilai RM4.4 juta itu berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal hasil disiplin serta komitmen tinggi pasukan pelaksana.
Tambah Dr. Shamsul, kehadiran bot-bot baharu berkenaan akan memperkasa rondaan PGA dan PPM di kawasan operasi strategik yang telah dikenal pasti, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi dan tindak balas pantas pasukan keselamatan di lapangan.
Beliau turut menegaskan bahawa KDN sentiasa menilai keperluan semasa serta berusaha menambah baik aset dan keupayaan teknikal pasukan keselamatan di bawah pelaksanaan SKOP bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja dan sesi ramah mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu serta Pejabat ESSCOM di sini.