
Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) kini muncul sebagai antara kuasa politik baharu paling diperhatikan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).
Walaupun baru berusia tidak sampai tiga tahun, parti ini dilihat semakin menggugat keseimbangan lama di kawasan Pantai Barat kawasan yang selama ini dikuasai parti-parti tradisional seperti GRS, WARISAN dan PBS.
Momentum kebangkitan KDM nyata terserlah melalui tagline “Misompuru Tokou” seruan klasik Kadazan Dusun Murut (KDM) yang membawa maksud “Mari Kita Bersatu”.
Ungkapan ini bukan sekadar slogan, tetapi lambang kepada gerakan identiti baharu rakyat Sabah, khususnya di kawasan majoriti Kadazan Dusun Murut yang merindukan suara politik akar umbi.
Latar penubuhan parti ini cukup simbolik, KDM lahir daripada perpecahan dalam WARISAN apabila Datuk Peter Anthony Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap ketika itu mengambil keputusan menubuhkan wadah politik sendiri pada tahun 2022.
Parti itu membawa agenda memperjuangkan autonomi dan keadilan sosial bagi masyarakat pribumi Sabah.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk penahanan dan hukuman penjara terhadap Peter, semangat perjuangan partinya tidak pudar,malah semakin menyala.
Kini, tampuk kepimpinan KDM diterajui oleh Priscella Peter, anak kepada Datuk Peter Anthony, yang baru berusia 27 tahun.
Beliau dibantu Timbalan Presiden Datuk Wetrom Bahanda dan Setiausaha Agung Willie Jude Junaidi dua nama besar yang membawa pengalaman politik, logistik dan akar umbi yang kukuh di Pantai Barat.
Gabungan “energi muda dan strategi senior” ini memberi KDM identiti tersendiri segar, progresif dan berani.
Imej parti ini berpaksikan generasi muda, profesional dan anak tempatan.
Dalam setiap siri jelajah dan kempen, sambutan yang diterima KDM sering di luar jangka membuktikan bahawa parti itu bukan sekadar bergantung pada emosi, tetapi telah menembusi hati pengundi yang dahagakan perubahan.
Faktor Priscella sebagai pemimpin wanita muda turut menambah nilai baharu dalam politik Sabah.
Keberaniannya mengambil alih tampuk kepimpinan ketika parti sedang diuji menunjukkan kematangan politik luar biasa.
Beliau tidak hanya meneruskan legasi ayahnya, tetapi juga mengangkat wajah baharu KDM sebagai gerakan rakyat yang berpaksikan integriti dan kelestarian perjuangan.
KDM kini dilihat bersedia meletakkan calon di lebih 30 kerusi DUN pada PRN-17 dengan tumpuan utama di kawasan Pantai Barat seperti Kiulu, Tamparuli, Kadamaian, Bongawan, Paginatan dan Melalap.
Antara calon yang disebut-sebut ialah Datuk Rusdin Riman, Willie Jude, dan Henry Saimpon, selain Priscella sendiri yang bakal mempertahankan kawasan legasi keluarganya.
Barisan calon muda, profesional dan berwibawa ini memperkukuh imej parti sebagai wadah alternatif kepada pengundi yang bosan dengan politik lama.
Namun begitu, laluan KDM bukan mudah,parti ini masih baharu dan tidak memiliki jentera sebesar GRS atau WARISAN.
Di samping itu, kehadiran calon-calon bebas dan pertembungan pelbagai penjuru di Pantai Barat bakal memecahkan undi, sesuatu yang boleh mempengaruhi strategi KDM.
Dalam konteks landskap politik Sabah yang sentiasa berubah, kekuatan sebenar KDM bukan terletak pada angka atau dana, tetapi pada emosi politik rakyat.
Rakyat Sabah sudah lama mendambakan parti yang benar-benar berjiwa tempatan, bukan sekadar cawangan kepada kuasa pusat.
Disinilah KDM cuba memposisikan diri sebagai suara alternatif yang berpaksikan semangat Misompuru Tokou.
Jika momentum ini dapat dikekalkan hingga ke hari pengundian, tidak mustahil KDM bakal mencatat sejarah dengan merampas beberapa kerusi strategik di Pantai Barat.
Ramai penganalisis menjangka parti ini mampu muncul sebagai “kingmaker” penentu kepada arah pembentukan kerajaan negeri pasca-PRN-17.
Namun jika mereka gagal mengimbangi semangat dan strategi, KDM mungkin sekadar menjadi “ombak pertama” yang indah tetapi belum cukup besar untuk menenggelamkan kapal-kapal lama politik Sabah.
Apa pun, kebangkitan KDM sudah menandakan sesuatu, bahawa politik Sabah kini sedang berubah arah.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.
Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa.Penulis mempunyai pengalaman berkhidmat dengan ahli politik di Sabah dan telah bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010 hingga kini.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025