PUTATAN: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Tanjung Keramat, Datu Duarin Harris, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta, namun beliau dan seluruh bahagian kekal menyokong kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Perkara ini dimaklumkan oleh beliau dalam surat rasmi bertarikh 15 Oktober yang dihantar kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan melalui Setiausaha Agung parti, Datuk Edward Linggu.
“Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian STAR Tanjung Keramat N24 Putatan berkuat kuasa pada 15 Oktober 2025. Semua Ahli Jawatankuasa Bahagian turut melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam surat berkenaan.
Duarin turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Jeffrey atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh kepimpinannya dari tahun 2021 hingga 2025, serta menegaskan komitmennya untuk terus bersama perjuangan GRS di bawah kepimpinan Hajiji.
“Walaupun saya berundur daripada jawatan Ketua Bahagian, saya dan seluruh jentera STAR Tanjung Keramat tetap teguh bersama GRS serta kepimpinanHajiji,” ujarnya.
Tindakan Duarin bersama seluruh barisan kepimpinan bahagian meletakkan jawatan merupakan tamparan hebat kepada STAR menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah.
Langkah itu mencerminkan hakisan sokongan terhadap STAR selepas parti berkenaan bertindak keluar daripada gabungan GRS — keputusan yang dilihat oleh sebahagian besar akar umbi sebagai langkah yang melemahkan perpaduan politik di Sabah.
Pemerhati politik tempatan berpandangan, pengunduran serentak pimpinan STAR Tanjung Keramat ini bukan sahaja menjejaskan kekuatan parti di kawasan Putatan, tetapi turut memberi isyarat bahawa sokongan akar umbi kini lebih cenderung kepada gagasan GRS yang diterajui Hajiji.
Tindakan Duarin adalah selaras dengan pendirian ramai bekas pemimpin STAR lain yang memilih untuk kekal bersama GRS kerana percaya dan yakin dengan hala tuju kepimpinan Hajiji yang menekankan kestabilan politik, perpaduan negeri dan kesinambungan pembangunan rakyat.
