
KENINGAU: Seorang lelaki pekerja Sabah Electricity dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Nuntunan Apin-apin, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 malam itu, mangsa yang berusia 30-an bersama dua rakan sekerjanya dikatakan cuba melintasi jambatan berkenaan ketika keadaan banjir melanda kawasan tersebut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, dua daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi hilang selepas dihanyutkan arus.
“Mangsa terakhir dilaporkan memakai vest Sabah Electricity dan hingga kini masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam.
Jarak perjalanan ke lokasi kejadian adalah sejauh 26 kilometer sebelum pasukan tiba pada jam 10.24 malam.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan di persisiran sungai berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Komander operasi diketuai PBK I Norhasrita Abdul Manan, manakala operasi turut dipantau Ketua Balai BBP Keningau, PKPgB Severinus@Mohd Nidzam Sainkui.
Sehingga kini operasi mencari masih dijalankan.