
SEMPORNA: Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Yussof menafikan dakwaan bahawa pegawainya terlibat dalam kegiatan rasuah, khususnya dalam sektor pelancongan.
Memetik laporan Daily Express,beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa terdapat tanda-tanda rasuah dalam Jabatan Imigresen susulan lawatannya ke Tawau dan Semporna selama dua hari minggu lalu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh Tiong yang mendakwa pegawai kami menerima rasuah daripada pelancong China.
“Kami sentiasa aktif dalam operasi penguatkuasaan dan akan bertindak segera berdasarkan aduan awam atau maklumat risikan,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen di semalam.
Sitti turut menggesa Menteri berkenaan untuk bertanggungjawab terhadap kenyataannya serta mengemukakan bukti, bukannya membuat tuduhan umum.
“Jika ada aduan, serahkan bersama bukti. Itu lebih adil kepada pegawai kami yang terkesan dengan tuduhan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan, termasuk daripada pelancong China di Semporna, namun menegaskan bahawa jika wujud salah laku, jabatan tidak akan berkompromi kerana perbuatan tersebut mencemarkan imej negara dan integriti jabatan.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa sejumlah 145,711 pas pekerja asing telah dikeluarkan di Sabah sehingga 13 Ogos tahun ini.
Sitti berkata, jumlah itu merangkumi 121,199 warganegara Indonesia dan 21,442 warga Filipina yang bekerja dalam tujuh sektor pekerjaan.
“Tujuh sektor tersebut ialah pembantu rumah (3,608), pembinaan (5,550), perkhidmatan (8,154), pembuatan (8,333), perladangan (90,825), perlombongan (67) dan pertanian (29,174).
“Selain itu, sejumlah 5,121 direkodkan melalui Sistem Permohonan Pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS),” katanya.
Menurut beliau, jabatan menghormati keputusan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri untuk menangguhkan sementara operasi penguatkuasaan di sektor perladangan bagi membolehkan proses pengumpulan data dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan majikan supaya tidak melengah-lengahkan pendaftaran pekerja dalam tempoh enam bulan yang diberikan, bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
“Kami telah berbincang dengan Kerajaan Negeri dan buat masa ini operasi di ladang-ladang seluruh Sabah digantung sehingga ada arahan baharu.
“Ini bermakna penguatkuasaan kami kini tertumpu kepada sektor lain, tetapi jika ada aduan terhadap sektor perladangan dan disahkan benar, operasi tetap akan dijalankan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sitti mengakui kenyataan Konsul Republik Indonesia di Tawau (KRI), Aris Heru Utomo, bahawa terdapat kes status kewarganegaraan yang tidak jelas dalam kalangan tahanan warga asing, yang menyebabkan kelewatan proses penghantaran pulang.
Beliau berkata, kes seperti ini hanya melibatkan sebilangan kecil tahanan, contohnya individu yang pada awalnya mengaku sebagai warga Indonesia tetapi kemudian didapati warga Filipina.
“Kes begini memang berlaku, tetapi penentuan kewarganegaraan juga berdasarkan kenyataan tahanan itu sendiri.
“Contohnya, ada yang mengaku sebagai rakyat Indonesia kerana perkahwinan campur, di mana ibu mereka warga Indonesia dan bapa pula warga Filipina,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Imigresen menjalankan proses saringan teliti terhadap status kewarganegaraan tahanan, termasuk temu bual bersama ahli keluarga yang melawat di Depot Tahanan Imigresen (DTI).
Beliau menegaskan, ada tahanan yang perlu ditahan lebih lama sekiranya status kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum penghantaran pulang.
“Pendaftaran kewarganegaraan ditentukan oleh Jabatan Imigresen berdasarkan kenyataan lisan tahanan, namun pihak kedutaan juga mempunyai akses untuk mengesahkan identiti sebenar mereka, seperti melalui etnik dan kampung asal,” katanya.