
Sandakan : Pembinaan jeti baharu Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di Sandakan sepanjang 300 meter dijangka memperkukuh pengurusan logistik serta keupayaan rondaan maritim Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Timur Sabah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata projek bernilai RM122 juta itu dijadualkan siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2026.
Menurutnya, jeti baharu itu akan menjadi kemudahan strategik bagi menyokong penempatan aset utama TLDM, sekali gus memperkukuh peranan Mawilla 2 sebagai markas penting dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.
“Setakat ini kerja-kerja berada pada tahap 75 peratus dan mengikut jadual. Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin projek ini dapat disiapkan pada 6 Mei tahun hadapan.
Markas ini amat penting kerana ia mengawasi Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek berkenaan sempena lawatan kerja dua hari ke Sandakan, hari ini.
Khaled menjelaskan, apabila jeti baharu siap sepenuhnya, ia akan mampu menampung lebih banyak kapal TLDM bagi memastikan operasi maritim dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Namun, katanya, terdapat sedikit kelewatan dalam pembinaan disebabkan masalah tanah mendap dan kawasan yang sempit.
“Berlaku keadaan mendap dan tanah runtuh di kawasan ini. Pihak kontraktor telah melantik konsultan pakar untuk meneliti dan mengkaji keadaan tersebut,” jelasnya.
Dalam lawatan sama, Khaled turut melawat Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Sri Kinabatangan, termasuk meninjau tapak pengusahaan madu kelulut yang merupakan sebahagian daripada Program Ekonomi MADANI.