
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin bahawa projek Jesselton Docklands bernilai RM4.2 bilion di kawasan tepi laut bandaraya ini bakal menjadi pemacu perubahan sebenar ekonomi Sabah.
Pembangunan di atas tanah prima seluas 35 ekar, juga dikenali sebagai Pelabuhan Kota Kinabalu lama, akan menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan, menarik pelaburan, merangsang pelancongan serta menghasilkan limpahan ekonomi positif merentasi pelbagai sektor, daripada pembinaan hinggalah kepada runcit, makanan dan minuman, serta perkhidmatan tempatan, katanya.
“Ia akan mengubah landskap tepi laut bandar ini kepada sebuah kawasan bandar moden, ceria dan mampan. Majlis pecah tanah Jesselton Docklands menandakan satu lagi pencapaian penting dalam transformasi berterusan tepi laut bersejarah Kota Kinabalu,” katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut di Jesselton Docklands Live Lab di sini hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Suria Capital Holdings Berhad, melalui anak syarikat milik penuh, Sabah Ports Sdn Bhd, atas komitmen teguh dan pandangan strategik dalam membuka potensi tapak pelabuhan ikonik ini.
“Sejak pemindahan operasi kontena ke Teluk Sapangar pada tahun 2007, Suria terus berusaha memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan oleh kawasan tepi laut ini. Syarikat ini telah memainkan peranan penting dalam membentuk semula identiti ibu negeri kita.
“Apa yang dahulunya sebuah pelabuhan kini sedang berkembang menjadi pusat perdagangan, pelancongan, budaya dan gaya hidup yang pesat. Syabas!” katanya.
Hajiji berkata transformasi itu turut merangkumi pemindahan terminal penumpang utama ke terminal sementara South Jetty, sekali gus membuka jalan untuk pembinaan terminal feri bertaraf antarabangsa yang canggih.
“Kemudahan baharu ini pasti akan meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kecekapan para pengembara, di samping melengkapi Terminal Persiaran Antarabangsa yang dirancang di bawah pelan induk Jesselton Docklands,” katanya.
Ketua Menteri berkata, peningkatan tersebut akan mengukuhkan kedudukan Kota Kinabalu di peta dunia sebagai pintu masuk utama persiaran dan feri, sekali gus mengukuhkan reputasi negeri sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Projek Jesselton Docklands yang dibangunkan bersama dengan BEDI Development akan menampilkan, antara lain, terminal persiaran antarabangsa khusus, hotel, kediaman, presint budaya dan zon komersial.
Perkembangan tepi laut ikonik itu juga akan menjadi lebih pesat dengan berlangsungnya fasa kedua usaha sama Suria dengan SBC Corporation Berhad menerusi pembangunan Jesselton Quay.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini akan menyaksikan pembinaan sebuah bandar tepi laut moden yang turut dilengkapi aset utama seperti Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Pusat Konvensyen Kota Kinabalu, dan Terminal Persiaran Antarabangsa pada masa hadapan, katanya.
Hajiji berkata kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan seperti Suria dengan sektor swasta mencerminkan inti pati sebenar perkongsian awam-swasta, di mana aset negeri dan modal swasta bergabung untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan berimpak.
Pada masa yang sama, katanya, projek itu juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, khususnya teras strategik pertumbuhan ekonomi, kemampanan, dan keterangkuman sosial.
Dalam pada itu, Hajiji turut memuji BEDI Development dan Suria atas sumbangan masing-masing sebanyak RM100,000 bagi usaha bantuan selepas banjir dan bencana alam baru-baru ini