
KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Brig. Jen. (Kehormat) Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said, hari ini membuat laporan polis terhadap Pemangku Presiden Parti MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz, berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan cubaan menghasut rakyat terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Laporan itu dibuat selepas Amira seperti dilaporkan portal Malaysiakini pada 27 Ogos lalu, menuduh Azam gagal menjalankan tanggungjawab berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan, Albert Tei, selain menggelar tindakan beliau sebagai “pengkhianatan terhadap institusi SPRM”.
Amira turut menggesa orang ramai supaya membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Jerry berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas, berniat jahat dan berpotensi mengelirukan rakyat.
“Kenyataan Amira dibuat tanpa bukti kukuh, hanya bersandarkan dakwaan sepihak yang belum dibuktikan secara sahih. Ini jelas satu fitnah yang menjejaskan nama baik Ketua Pesuruhjaya SPRM serta mencemar kredibiliti institusi penguatkuasaan negara,” katanya selepas membuat laporan polis di sini.
Beliau berkata, seruan Amira agar orang ramai membuat laporan polis terhadap Azam merupakan cubaan politik kepartian untuk menjatuhkan keyakinan rakyat terhadap SPRM, sedangkan segala tuduhan perlu dibawa melalui saluran undang-undang.
Menurutnya, tindakan itu boleh disifatkan sebagai cubaan menghasut masyarakat, sekali gus berisiko mencetuskan kebencian serta kegelisahan awam.
Sehubungan itu, Jerry menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan berkenaan secara menyeluruh dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya terbukti mengandungi unsur fitnah atau hasutan.
“Jangan biarkan mana-mana pihak merosakkan keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan hanya kerana kepentingan politik sempit,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan politik berbaur fitnah, sebaliknya menyerahkan sebarang isu berkaitan rasuah atau salah guna kuasa kepada pihak berkuasa untuk disiasat secara telus dan mengikut peruntukan undang-undang.
- Salinan laporan polis Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said.
3.