
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, menyelar janji terbaharu Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang berikrar akan melupuskan hutang pendidikan termasuk pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah sekiranya kembali menerajui kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Menurut beliau, kenyataan tersebut bukan sahaja bersifat populis, malah memperlihatkan keputusasaan Warisan dalam menagih sokongan rakyat, setelah gagal menunjukkan prestasi sebenar ketika diberi peluang memerintah negeri sebelum ini.
“Persoalannya mudah. Mengapa perkara ini tidak dilakukan ketika Warisan memegang kuasa antara 2018 hingga 2020? Pada waktu itu, Shafie adalah Ketua Menteri dan Yayasan Sabah berada sepenuhnya di bawah pentadbiran beliau. Kenapa tidak dilaksanakan ketika itu?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jaffari menyifatkan kenyataan Shafie sebagai cubaan memanipulasi emosi rakyat, khususnya golongan muda yang berdepan tekanan kewangan akibat hutang pendidikan dan lain-lain.
“Apabila menjelang pilihan raya, mulalah muncul pelbagai janji manis kononnya demi kebajikan rakyat. Tapi apabila berkuasa, satu pun tidak terlaksana. Rakyat Sabah sudah serik dengan pendekatan politik kosmetik seperti ini”, tegasnya.
Beliau berkata, janji mahu melupuskan pinjaman PTPTN dan pinjaman Yayasan Sabah bukan sahaja tidak realistik, malah membuktikan Warisan tidak memahami kedudukan sebenar kewangan negeri dan prinsip tadbir urus fiskal yang bertanggungjawab.
“Setakat ini, belum ada satu pun kerajaan negeri di Malaysia yang mampu melupuskan hutang PTPTN sepenuhnya. Malah di Sarawak, hanya 30 peratus pinjaman yang ditanggung kerajaan negeri. Jadi, dari mana Warisan mahu ambil dana untuk melunaskan semua hutang ini?”, soal beliau.
Menurutnya, janji itu hanya akan membebankan kewangan negeri dalam jangka panjang dan berisiko mengganggu kelangsungan dasar-dasar pembangunan penting seperti infrastruktur luar bandar, pendidikan teknikal, kesihatan dan pembasmian kemiskinan.
Sebaliknya, Jaffari berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab, pragmatik dan berasaskan kemampuan sebenar, melalui pemberian biasiswa bersasar, program peningkatan kemahiran, bantuan komputer riba dan pelbagai insentif pendidikan kepada pelajar Sabah.
“Kita bukan sekadar berjanji. Kita sudah melaksanakannya. Beratus pelajar Sabah menerima manfaat melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,Tabung Pendidikan Negeri Sabah, biasiswa Yayasan Sabah dan lain-lain. Semua ini adalah bantuan sebenar, bukan mimpi pilihan raya.”
Jaffari turut menasihatkan rakyat Sabah, khususnya pengundi muda, supaya tidak mudah terpedaya dengan janji lunak yang digembar-gemburkan oleh parti politik yang hanya muncul aktif apabila pilihan raya semakin hampir.
“Jangan biarkan masa depan anak-anak Sabah dipertaruhkan demi kelangsungan karier politik sesetengah pihak. Rakyat harus menilai berdasarkan rekod pencapaian, bukan retorik semata-mata”, katanya.
Dalam kenyataan terdahulu, Shafie dilaporkan berkata Warisan akan melupuskan semua pinjaman pendidikan termasuk PTPTN dan pinjaman Yayasan Sabah sekiranya negeri itu mempunyai dana mencukupi di bawah pentadbirannya kelak.
Namun sehingga kini, tiada perincian lanjut dikemukakan berhubung kaedah pelaksanaan, sumber dana atau kesan fiskal daripada cadangan tersebut.
Deasoka