
Kota Kinabalu : Rakyat Sabah bukan pelupa. Rakyat Sabah bukan mudah dipujuk dengan janji kitar semula yang dibungkus indah menjelang pilihan raya.
Kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang kononnya mahu melupuskan pinjaman pendidikan termasuk PTPTN dan Yayasan Sabah serta menawarkan biasiswa penuh kepada anak-anak Sabah, hanyalah satu lagi skrip politik usang — diulang semula untuk kesekian kalinya apabila tiba musim undi.
Sedarkah beliau, sewaktu memegang tampuk kuasa sebagai Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020, tidak ada satu dasar pun yang menggambarkan kesungguhan terhadap pembelaan pendidikan anak Sabah? Tidak ada pelupusan hutang. Tidak ada dermasiswa baharu. Tiada dana khas untuk mahasiswa luar negeri. Yang ada hanyalah retorik demi retorik.
Tapi kini, setelah tidak lagi berkuasa — dan berada di kerusi pembangkang — beliau datang semula membawa janji manis yang sudah basi. Rakyat Sabah tidak mudah dibeli dengan janji bulan dan bintang.
Kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor tidak menjanjikan mimpi. Kami tunjukkan hasil. Kami buktikan usaha:
Dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk anak Sabah dari keluarga B40.
Dermasiswa Sabah Maju Jaya yang membuka lebih banyak peluang ke menara gading.
Penambahan peruntukan Yayasan Sabah demi biasiswa dan bantuan pendidikan yang lebih luas.
Pembangunan sekolah daif di luar bandar – bukti keprihatinan luar kota.
Inisiatif khas untuk mahasiswa Sabah di luar negeri – sesuatu yang tidak pernah dibuat semasa Warisan berkuasa.
Ini bukan cerita dongeng. Ini bukan sekadar cakap-cakap kedai kopi. Ini komitmen kerajaan GRS terhadap masa depan anak-anak Sabah — dilakukan dengan penuh tanggungjawab fiskal, tanpa menjual mimpi palsu atau mengeksploitasi isu hutang mahasiswa untuk modal politik murahan.
Kami menyeru rakyat Sabah — khususnya anak muda — agar tidak terpedaya dengan politik populis yang hanya aktif bila pilihan raya semakin hampir. Jangan biarkan masa depan kita digadai oleh mereka yang hanya hadir bila perlukan undi.
Pendidikan bukan alat propaganda. Ia amanah untuk membina generasi akan datang.
Kerajaan GRS akan terus bekerja, bukan berjanji.
Akan terus memberi, bukan memancing simpati.
Kerana rakyat Sabah berhak untuk terus maju — bukan mundur kerana terpedaya janji lama dalam bungkusan baru.
YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah
ADUN N.68 Apas
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah