
Kota Kinabalu: Semua pihak diminta terus bertenang dan tidak mengaitkan unsur politik terutamanya ketika berhimpun atau bersoladiriti menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Peguam, Hamid Ismail berkata, pihak penganjur perhimpunan perlu peka dengan hemah masing-masing sekiranya menjemput mana-mana wakil politik dan bertindak sekiranya terdapat ucapan yang berunsur politik.
“Bagi mereka yang mahu bersoladiriti saya dan pasukan sangat sokong, cuma patuhi undang-undang, patuhi peraturan yang ditetapkan, jaga kebersihan tempat bersoladiriti.
“Jika ada yang berpolitik, janganlah suruh datang, bersoladiriti ini untuk Zara bukan untuk mana-mana parti politik, tolong kalau penganjur tolak lah orang-orang yang berucap berunsur politik.
“Ini tidak bagus, kita semua untuk Zara,” katanya ketika ditemui media selepas sesi penyerahan sebutan inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan, ibu Allahyarhamah Zara, Noraidah Lamat, berasa gembira dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi jaminan bahawa tiada seorang akan terlepas daripada tindakan dan dakwaan pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.
“Saya bercakap dengannya semalam dia sangat gembira dan dia memohon kepada semua saksi yang ada… jangan takut.
“Terutamanya para pelajar tampilkan diri kalau takut kepada polis, jumpa kami,” katanya.